lng-port-building

Jepun Berkata Sekatan Ke Atas Rusia Akan Jejaskan Projek LNG

Sekatan AS akan memberi kesan ke atas projek Arctic LNG 2 di Rusia di mana pemegang saham Jepun memegang gabungan 10 peratus kepentingan, kata menteri industri Jepun Yasutoshi Nishimura pada hari Selasa.

Projek itu penting untuk memastikan bekalan gas asli cecair (LNG) yang stabil bagi Jepun yang miskin sumber dan kerajaan Jepun akan bertindak balas sewajarnya untuk tidak menjejaskan bekalan tenaganya, katanya.

“Kami percaya bahawa kesan di tahap tertentu ke atas perniagaan tidak dapat dielakkan,” kata Nishimura pada sidang akhbar.

“Kami akan bekerjasama dengan negara G7 untuk membuat pertimbangan yang komprehensif dan bertindak balas dengan sewajarnya supaya tidak menjejaskan bekalan tenaga yang stabil kepada negara kita,” katanya.

Khamis lalu, Amerika Syarikat mengenakan langkah baharu terhadap Moscow berhubung perang di Ukraine, menyasarkan entiti utama yang terlibat dalam pembangunan, operasi dan pemilikan projek besar-besaran di Siberia yang dikenali sebagai Arctic LNG 2.

Projek Artic LNG 2 dikendalikan oleh Novatek Rusia manakala syarikat dagangan Jepun Mitsui & Co dan Pertubuhan Keselamatan Logam dan Tenaga Jepun (JOGMEC) milik negara memegang gabungan 10 peratus kepentingan.

Mitsui & Co berkata pada hari Jumaat ia akan mengkaji kesan sekatan ke atas projek itu dan “mengambil langkah sewajarnya dengan kerjasama pihak berkepentingan termasuk kerajaan Jepun”.

Pendedahan Mitsui kepada Arctic LNG 2, termasuk pelaburan, pinjaman dan jaminan, adalah 249 bilion yen (AS$1.7 bilion) pada akhir September, selepas menolak peruntukan 19.9 bilion yen yang telah direkodkan untuk jaminan itu.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *