JPJ perketatkan syarat kelulusan pemeriksaan tayar kenderaan komersial

Rio Boestamam
3 Min Read

Lebih 600 kenderaan perdagangan telah gagal ujian tayar di Puspakom sejak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengetatkan syarat pemeriksaan bermula bulan ini.

Menurut Puspakom, antara 1 hingga 10 Jun, sebanyak 658 daripada 49,570 kenderaan perdagangan (bersamaan 1.3%) gagal dalam pemeriksaan tayar, manakala 43 kenderaan (kebanyakannya lori tipper) gagal dalam pemeriksaan papan sisi (sideboard).

Bermula 1 Jun, tayar hanya akan lulus pemeriksaan jika keseluruhan permukaan tayar mempunyai kedalaman bunga sekurang-kurangnya 1.6mm. Sebelum ini, sehingga 31 Mei, tayar boleh lulus jika sekurang-kurangnya 75% permukaan bunga memenuhi keperluan kedalaman tersebut.

Pada bulan Mei, kadar kegagalan pemeriksaan disebabkan tayar adalah 1.1%.

Bagi lori tipper atau dumper pula, ketinggian papan sisi tidak boleh melebihi 762mm atau 610mm, bergantung pada berat kasar kenderaan, dan dokumen berkaitan jenis muatan yang dibenarkan perlu dikemukakan semasa pemeriksaan – sesuatu yang tidak diwajibkan sebelum ini.

Febuari lepas, Anthony Loke (Menteri Pengangkutan) telah mengumumkan yang tiga syarikat baru telah diberi lesen untuk mengendalikan operasi pemeriksaan kenderaan bersama Puspakom.

Dalam maklum balas bertulis kepada The Star, Puspakom menegaskan bahawa pemilik dan pengendali kenderaan berat tidak seharusnya hanya fokus untuk lulus pemeriksaan, tetapi juga perlu mengutamakan aspek keselamatan dan kesesuaian jalan mengikut piawaian di bawah Akta Pengangkutan Jalan.

Walaupun begitu, Puspakom menjelaskan bahawa data awal ini mungkin belum menggambarkan sepenuhnya keadaan sebenar kerana hanya merangkumi 10 hari pertama selepas peraturan baharu dikuatkuasakan.

Mematuhi piawaian ini bukan sahaja melindungi keselamatan pemilik dan pengguna jalan raya lain, malah membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya secara signifikan,” kata Puspakom.

Isu kenderaan berat mendapat perhatian kebelakangan ini susulan beberapa insiden kemalangan besar, termasuk perlanggaran pada 13 Mei antara lori tipper dan lori polis yang meragut sembilan nyawa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), serta kemalangan bas pada 9 Jun yang mengorbankan 15 pelajar universiti. Kedua-dua kejadian berlaku di Perak.

Dalam perkembangan berasingan, Puspakom memaklumkan bahawa kadar kegagalan pemeriksaan keseluruhan (meliputi semua sebab) yang mencatat peningkatan pada Januari dan Februari kini telah menurun.

“Kadar kegagalan pemeriksaan di pusat-pusat kami kini purata 23%, berbanding 39% pada dua bulan pertama tahun ini. Ini menunjukkan sikap lebih berhati-hati dalam kalangan pemilik kenderaan, yang merupakan petanda positif,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman.

Beliau menambah, penurunan kadar kegagalan ini berkemungkinan disebabkan usaha lebih teliti pemilik kenderaan dalam memastikan penyelenggaraan kenderaan dilakukan dengan lebih baik.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *