Japan Freight Railway (JR Freight) pada hari Rabu menggantung semua operasi kereta api kargonya selepas syarikat itu menemui bukti salah laku dalam ujian keselamatan, lapor penyiar awam NHK.
Langkah ini menyebabkan kelewatan penghantaran bungkusan selama sekurang-kurangnya sehari, menurut syarikat kurier, sementara kesan penuh terhadap logistik negara masih belum jelas.
JR Freight, satu-satunya firma Jepun yang mengendalikan kereta api kargo di peringkat nasional, mendapati terdapat prosedur tidak wajar di tiga depoh keretanya, di mana pekerja memalsukan data atau mengabaikan data ujian keselamatan yang kurang optimum semasa prosedur pemasangan roda untuk kereta kargo.
Siasatan mendapati bahawa tekanan yang melebihi had ditetapkan dikenakan semasa pemasangan roda pada gandar, yang berpotensi melemahkan gandar. Data ujian diubah, dan rekod yang dipalsukan disimpan.
Kementerian Pengangkutan Jepun telah meminta JR Freight untuk menjalankan pemeriksaan kecemasan ke atas semua kereta kargo bagi memastikan keselamatan roda. Pada hari Rabu, JR Freight memutuskan untuk menghentikan semua operasinya sehingga keselamatan kenderaan tersebut dapat disahkan.
Langkah ini menjejaskan syarikat-syarikat kurier seperti Yamato, yang melaporkan kelewatan penghantaran lebih daripada sehari untuk bungkusan domestik jarak jauh. Syarikat lain seperti SG Holdings’ Sagawa, Fukuyama Transporting, dan Seino turut memohon maaf kepada pelanggan atas kelewatan penghantaran yang disebabkan oleh penggantungan ini.
JR Freight, yang diasaskan pada tahun 1987 selepas penswastaan perniagaan kargo milik Keretapi Nasional Jepun, kini mengendalikan lebih 7,000 kereta kargo di seluruh Jepun. Syarikat ini bertujuan untuk menyambung semula operasi secepat mungkin dengan meningkatkan muatan setiap kereta kargo bagi meminimumkan gangguan.
Siasatan kementerian terhadap depot di Muroran, Kawasaki, dan Hiroshima telah dijalankan untuk menentukan sama ada tindakan pentadbiran harus diambil terhadap JR Freight​.
Add a Comment