Kementerian Pengangkutan kaji penggunaan ‘dash cam’ untuk kenderaan berat

Aina Julia
3 Min Read

Kementerian Pengangkutan (MOT) akan melaksanakan beberapa langkah penguatkuasaan dan pemantauan mandatori ke atas kenderaan berat bagi meningkatkan keselamatan jalan raya, susulan kemalangan bas yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Isnin (9 Jun).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata walaupun terdapat cabaran dalam memastikan pematuhan oleh syarikat pengendali kenderaan berat seperti lori dan bas, kementeriannya akan melaksanakan langkah mandatori seperti pemasangan peranti had laju serta mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar dalam bas.

“Kita lihat antara punca kemalangan yang kerap berlaku di laluan ini adalah melibatkan kenderaan berat seperti lori dan bas yang dipandu laju. Kini ada teknologi iaitu peranti had laju yang dipasang bagi mengelakkan kenderaan melebihi had kelajuan.

“Tetapi cabaran kita adalah kebanyakan peranti ini telah diubah suai (‘tampered’), di mana mereka pasang semasa pemeriksaan di Puspakom, kemudian ditanggalkan selepas itu. Kita mahu pastikan tiada lagi pengubahsuaian terhadap peranti had laju ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan CruiseWorld Malaysia 2025 pada Selasa, yang turut dihadiri Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Datuk Yeoh Soon Hin, dan Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Wong Hon Wai.

Orang ramai menyuarakan kebimbangan mereka setelah angka kemalangan melibatkan kenderaan berat dilihat semakin meningkat di seluruh Malaysia.

Tambah Loke, MOT kini sedang meneliti langkah-langkah untuk mengatasi kelemahan aspek keselamatan pada kenderaan berat, termasuk tindakan undang-undang yang tegas sekiranya peranti had laju tidak dipasang atau diubah suai selepas pemasangan diwajibkan.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa semua bas baharu yang dikeluarkan mulai tahun 2020 diwajibkan dilengkapi dengan tali pinggang keledar untuk semua penumpang. Namun, bas yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Timur-Barat pada Isnin itu merupakan model tahun 2013 dan tidak mempunyai tali pinggang keledar.

“Walaupun bas baharu diwajibkan ada tali pinggang keledar, cabaran kita sekarang adalah memastikan penumpang memakainya. Maka kita perlu mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar oleh semua penumpang.

“Dalam kereta, jika tidak pakai tali pinggang, ia akan berbunyi (beep), jadi kita boleh laksanakan peraturan supaya bas tidak boleh bergerak selagi penumpang tidak memakai tali pinggang keledar,” jelasnya.

Selain itu, MOT juga sedang mengkaji kemungkinan mewajibkan pemasangan kamera video dalam kenderaan berat (on-board camera) sebagai langkah tambahan keselamatan, walaupun ia masih belum diwajibkan buat masa ini.

Pada Isnin lalu, negara dikejutkan dengan kemalangan yang mengorbankan 15 pelajar UPSI apabila sebuah bas persiaran yang dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak, terbalik selepas terbabit dalam kemalangan di KM53 Lebuhraya Timur-Barat, berhampiran Tasik Banding, Gerik.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *