Toshiba telah dinyah senarai pada hari ini selepas berada di bursa Tokyo selama 74 tahun. Syarikat teknologi yang menjadi salah satu jenama terbesar Jepun itu telah mengalami skandal dan pergolakan sejak 10 tahun lalu sehingga membawa kepada pembelian dan masa depan yang tidak menentu.
Konglomerat itu diambil alih oleh sekumpulan pelabur yang diketuai oleh firma ekuiti swasta Japan Industrial Partners(JIP) yang turut merangkumi firma perkhidmatan kewangan Orix, utiliti Chubu Electric Power dan pembuat cip Rohm.
Pengambilalihan bernilai AS$14 bilion meletakkan Toshiba di tangan firma domestik selepas perselisihan yang berlarutan dengan aktivis pelabur luar negara yang telah melumpuhkan industri pembuat bateri, cip, dan nuklear dan peralatan pertahanan.
Toshiba “kini akan mengambil langkah besar ke arah masa depan baharu dengan pemegang saham baharu,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Saham Toshiba berakhir pada 19 Disember, menutup hari dagangan terakhir mereka pada 4,590 yen, turun 0.1 peratus daripada hari sebelumnya.
Walaupun tidak jelas bagaimana bentuk Toshiba selepas berada di bawah pemilik baharunya, Ketua Eksekutif Taro Shimada, yang kekal dalam peranannya susulan pembelian itu, dijangka memberi tumpuan kepada perkhidmatan digital margin tinggi.
Sokongan JIP kepada Shimada telah menggagalkan rancangan awalnya untuk bekerjasama dengan dana yang disokong oleh kerajaan.
Sesetengah orang dalam industri berkata pemisahan Toshiba mungkin pilihan yang lebih baik.
“Kesulitan Toshiba pada dasarnya disebabkan oleh gabungan keputusan strategik yang buruk dan nasib malang,” kata Damian Thong, ketua penyelidikan Jepun di Macquarie Capital Securities.
“Saya berharap melalui pelupusan, aset dan kemahiran manusia, Toshiba dapat mencari rumah baharu di mana potensi penuh mereka boleh dicetuskan,” tambahnya.
Kerajaan Jepun dilaporkan akan memantau dengan teliti kakitangan Toshiba yang berjumlah 106,000 orang serta beberapa operasinya kerana dilihat sebagai kritikal kepada keselamatan negara.