KTMB akan melaksanakan sistem pembelian tiket tanpa tunai sepenuhnya bermula 1 Januari 2025, meliputi semua sektor termasuk Lembah Klang, utara, selatan, dan pantai timur.
Inisiatif ini bertujuan menyokong transformasi Malaysia ke arah ekonomi digital, sejajar dengan usaha kerajaan untuk membentuk masyarakat yang lebih inklusif, selamat, dan telus.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin, berkata, “Sepanjang tempoh peralihan ini, kaunter tiket akan terus menerima transaksi tunai. Namun, sebaik sahaja inisiatif ini dilaksanakan, semua transaksi akan menjadi tanpa tunai sepenuhnya.”
Menurutnya, KTMB kini sedang meningkatkan kesedaran masyarakat, terutama golongan warga emas dan OKU, mengenai peralihan ini bagi memastikan semua pihak dapat menyesuaikan diri.
KTMB juga bekerjasama dengan bank tempatan di beberapa stesen terpilih untuk membantu individu yang tiada kad debit. Selain itu, petugas stesen akan membantu pengguna mendaftar aplikasi KITS atau kad Komuter Link, dengan panduan untuk pembelian tiket melalui aplikasi atau kiosk.
KTMB turut menawarkan insentif seperti mata ganjaran percuma dan kad Komuter Link tanpa caj untuk pendaftaran awal aplikasi KITS. Setakat ini, kira-kira 82% penumpang sudah menggunakan pembayaran tanpa tunai, menunjukkan sokongan positif terhadap inisiatif ini.
Add a Comment