Bank Pusat Japun (BOJ) perlu bersedia untuk mengeluarkan mata wang digital bank pusat (CBDC) yang dapat wujud bersama dengan pelbagai bentuk wang lain bagi menawarkan sistem pembayaran digital yang selamat kepada orang ramai, kata Gabenor BOJ Haruhiko Kuroda hari ini.
BOJ akan memulakan program perintis pada bulan April bagi menguji penggunaan yen digital, menyertai kebanyakkan negara yang kini sedang berusaha untuk mengejar China, pendahulu dalam melancarkan CBDC.
“Memastikan kewujudan bersama CBDC dengan pelbagai bentuk wang lain…adalah sesuatu yang kita perlu dan sebenarnya akan dicapai pada masa hadapan,” kata Kuroda dalam ucapan yang disampaikan pada seminar mengenai teknologi kewangan.
“Terdapat pelbagai pilihan terletak di hadapan kita dari segi bagaimana serta bila untuk melaksanakannya. Tetapi menjadi kewajipan kita sebagai bank pusat untuk bersedia untuk bertindak balas secara fleksibel kepada sebarang perubahan dalam apa jua keadaan,” katanya.
BOJ berkata program perintis itu, yang akan mengikuti eksperimen dua tahun yang telah dijalankannya, akan membantu ia bersedia sekiranya kerajaan memutuskan untuk mengeluarkan yen digital.