Amerika Syarikat beri kebenaran kepada Malaysia untuk beli jet pejuang Kuwait

Boboi CTC
3 Min Read

Usaha Malaysia untuk memperoleh jet pejuang F/A-18 Hornet daripada Kuwait kini semakin hampir menjadi kenyataan selepas mendapat kelulusan daripada Amerika Syarikat.

Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Asghar Khan Goriman Khan, hari ini mengesahkan bahawa Washington telah memberikan kelulusan yang diperlukan bagi urusan pembelian tersebut.

“Terdapat perkembangan positif. Kita telah menubuhkan satu jawatankuasa yang terdiri daripada Kementerian Pertahanan, syarikat Boeing, dan Tentera Udara Kuwait. Amerika Syarikat juga telah memberikan lampu hijau untuk kita meneruskan perbincangan lanjut.

“Proses ini akan dijalankan dalam masa terdekat, tetapi kita juga perlu menunggu sehingga Kuwait menerima jet F/A-18 E/F Super Hornet yang telah mereka beli daripada AS. Ini adalah faktor penting,” katanya semasa sidang media sempena Sambutan Hari Ulang Tahun TUDM ke-67 di Pangkalan Udara Kuantan.

Malaysia perlu terlebih dahulu menunggu proses pembelian jet pejuang F/A-18 E/F Super Hornet oleh Kuwait selesai terlebih dahulu.

Di bawah Akta Kawalan Eksport Senjata Amerika Syarikat, semua urusan yang melibatkan senjata buatan AS perlu mendapat kelulusan Kongres negara itu. Ini termasuk jualan semula aset yang telah dibeli oleh sesebuah negara kepada negara lain.

Perjanjian yang telah lama dinantikan ini melibatkan kira-kira 30 pesawat Hornet (gabungan antara model F/A-18C satu tempat duduk dan F/A-18D dua tempat duduk) yang kini berkhidmat dengan Tentera Udara Kuwait.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sebelum ini memaklumkan bahawa pesawat yang diperoleh oleh Kuwait pada tahun 1990-an itu secara umumnya berada dalam keadaan baik.

Semasa lawatannya ke Kuwait pada Oktober tahun lalu, beliau memaklumkan bahawa negara Teluk itu tidak membantah permintaan Malaysia untuk membeli jet Hornet berkenaan.

Pada masa ini, Malaysia mengoperasikan lapan buah F/A-18D Hornet serta 18 buah pesawat tempur Sukhoi Su-30MKM.

TUDM juga telah membeli 18 buah pesawat FA-50M buatan Korea Selatan bagi menggantikan armada pesawat BAE Hawk 208/108 yang digunakan sebagai pesawat pejuang ringan dan latihan lanjutan. Bagaimanapun, pesawat FA-50M itu hanya dijangka akan mula diterima tahun hadapan.

Ini telah mewujudkan kekosongan dalam inventori Pesawat Tempur Pelbagai Peranan (MRCA) TUDM susulan persaraan 16 buah pesawat MiG-29N buatan Rusia tujuh tahun lalu.

Perancangan untuk menggantikan MiG-29N (yang dioptimumkan untuk peranan pertahanan udara) dikatakan tertangguh kerana kekangan kewangan.

Program pemerolehan MRCA oleh TUDM dilancarkan pada tahun 2011, dengan sasaran awal agar pesawat baharu mula beroperasi sekitar tahun 2015 hingga 2016.

Pada awalnya, TUDM merancang untuk memperoleh 18 buah pesawat, namun jumlah itu meningkat kepada antara 24 hingga 40 buah menjelang tahun 2014.

Penganalisis pertahanan percaya bahawa pemerolehan F/A-18 C/D Hornet ini akan memperkukuh keupayaan TUDM, khususnya di kawasan Laut China Selatan yang kini menyaksikan peningkatan aktiviti ketenteraan.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *