PUTRAJAYA, 28 Nov -- Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah (kiri) berkenan mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seri Perdana semasa lawatan khas baginda ke Malaysia hari ini.

Malaysia, Brunei Menilai Kerjasama Sedia Ada, Teroka Potensi Baharu

Malaysia dan Brunei Darussalam akan menilai kemajuan kerjasama sedia ada sambil meneroka potensi baharu untuk meningkatkan hubungan dan kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Perkara ini akan dibincangkan oleh Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, yang akan berada di Malaysia untuk lawatan khas pada hari ini (28 Nov) bersama Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang dilantik sebagai perdana menteri Malaysia ke-10 pada 24 November lalu akan menjadi tuan rumah bagi majlis makan tengah hari bersama Sultan Hassanal Bolkiah, yang akan diiringi Putera ‘Abdul Mateen Bolkiah, dan rombongannya.

Lawatan terakhir Sultan Hassanal Bolkiah ke Kuala Lumpur adalah antara 4 hingga 6 Mac 2019, ketika baginda menghadiri Perundingan Tahunan Pemimpin Ke-22 antara Malaysia dan Negara Brunei Darussalam.

Malaysia dan Brunei Darussalam mempunyai hubungan istimewa yang telah terjalin sejak sekian lama melalui warisan bersama, budaya dan hubungan manusia.

Brunei Darussalam ialah rakan dagangan ke-30 terbesar Malaysia pada 2021 dan keenam terbesar di Asean dengan jumlah perdagangan mencecah RM8.03 bilion.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *