Kerajaan Malaysia menegaskan semula komitmennya untuk mempertahankan kedaulatan negara berasaskan Peta 1979. Dengan serta menolak sebarang tuntutan maritim luar yang bercanggah dengannya, termasuk oleh China, demikian dimaklumkan di Dewan Negara pada Selasa (24 Feb).
Menteri Luar, Mohamad Hasan berkata Malaysia tidak mempunyai kawasan maritim bertindih dengan China berdasarkan Peta 1979 yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Beliau menegaskan bahawa Putrajaya tidak akan berkompromi terhadap sebarang tuntutan kedaulatan oleh mana-mana negara yang melangkaui sempadan seperti yang digariskan dalam peta tersebut.

Beliau turut menjelaskan bahawa istilah “rundingan penentuan sempadan” adalah lebih tepat berbanding “pertikaian”, kerana Malaysia tidak mempunyai perselisihan bermusuhan dengan negara-negara jirannya.
Mengenai Sabah, beliau sekali lagi menegaskan bahawa Malaysia tidak pernah mengiktiraf tuntutan Filipina, sambil menekankan bahawa negeri itu menyertai Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 menerusi proses penentuan nasib sendiri yang disahkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Bobbey Suan mengenai cabaran undang-undang di mahkamah Eropah oleh waris Sultan Sulu, Mohamad menyifatkan tindakan itu sebagai “forum shopping”, iaitu usaha mencari keputusan yang memihak di pelbagai bidang kuasa.
Kumpulan tersebut pada awalnya memfailkan prosiding di mahkamah Sepanyol sebelum beralih ke Luxembourg dan Belanda, dan akhirnya ke Paris, Perancis selepas gagal dalam cubaan terdahulu. “Tuntutan oleh waris Sultan Sulu adalah berasingan daripada tuntutan kerajaan Filipina, namun kedua-duanya tidak kita iktiraf,” katanya.
