MCA timbang masa depan parti bersama BN dan Kerajaan Perpaduan

Aina Julia
3 Min Read

Sebanyak 191 bahagian MCA kini sedang mengadakan mesyuarat bagi membentangkan usul berkaitan hala tuju parti, di tengah-tengah rasa tidak puas hati akar umbi terhadap peranan MCA dalam Barisan Nasional (BN) dan kerajaan perpaduan.

Di Kelantan, kekecewaan timbul apabila MCA tidak diberikan kerusi DUN Kota Lama pada pilihan raya dua tahun lalu, meskipun parti itu telah lama berkhidmat di kawasan majoriti Cina itu (31%). Pengerusi MCA Kelantan, Chua Hock Kuan, menyuarakan rasa terkilan apabila kerusi tradisi mereka diberikan kepada calon Amanah, Dr Hafidzah Mustakim, yang kemudiannya menang mewakili gabungan kerajaan.

Chua turut melahirkan rasa kecewa apabila MCA tidak diberikan sebarang jawatan, termasuk jawatan kecil seperti ketua kampung, oleh kerajaan pusat. Walaupun begitu, katanya, MCA Kelantan masih meneruskan khidmat masyarakat termasuk program komuniti dan sambutan perayaan tradisional masyarakat Cina.

“Kami sepatutnya satu keluarga, tapi layanan yang diterima tidak menggambarkan demikian,” kata Chua yang menegaskan MCA tidak berasa sebahagian daripada kerajaan perpaduan.

Sejak merdeka, MCA dan Umno telah menjadi sekutu politik utama menerusi Parti Perikatan dan kemudian BN. Namun pengaruh MCA di kalangan pengundi Cina semakin merosot sejak PRU 2008, dengan sokongan beralih kepada DAP.

Pada 11 Mei 1946 gabungan UMNO dan Persatuan Cina Malaysia (MCA) yang diterajui oleh Tunku and Tun Tan Cheng Lock ditubuhkan.

Ketika ini, semua bahagian MCA di Semenanjung dan Sabah sedang menjalankan mesyuarat agung tahunan masing-masing, manakala mesyuarat peringkat negeri dijadualkan bulan depan. MCA tidak mempunyai kehadiran di Sarawak.

Timbalan Pengerusi MCA Selangor, Tan Gim Tuan, berkata semakin ramai ahli parti menggesa agar MCA keluar daripada BN berikutan rasa kecewa terhadap kerajaan perpaduan yang didakwa gagal menangani isu rakyat.

Tan berkata, banyak ahli akar umbi mahukan MCA memainkan peranan yang lebih penting dalam pembangunan negara, bukannya kekal di pinggiran. Antara isu utama yang dibangkitkan ialah ketegangan hubungan kaum dan kos sara hidup yang meningkat.

“Ekonomi tidak memberangsangkan, kos hidup naik. MCA dah banyak bantu masyarakat Cina, tapi DAP pula berjuang untuk apa?” soal beliau.

Beliau juga berkata, 60% bahagian MCA di Selangor telah selesai bermesyuarat dan akan menyerahkan usul kepada pimpinan negeri selewat-lewatnya 29 Jun. Menurutnya, banyak bahagian yakin MCA masih relevan dan berpengalaman untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *