mcd-leaving-rusia

McDonald’s Tinggalkan Rusia, Jual 850 Buah Restoran Kepada Pembeli Tempatan

Gergasi makanan segera Amerika, McDonald’s akan keluar sepenuhnya dari pasaran Rusia, mengikuti jejak syarikat Barat yang lain.

McDonald’s juga akan menjual perniagaannya di Rusia selepas menutup 850 buah restoran di negara itu pada bulan Mac lalu yang mana melibatkan 62,000 kakitangan.

“Selepas lebih 30 tahun beroperasi di negara ini, McDonald’s Corporation mengumumkan ia akan keluar dari pasaran Rusia dan telah memulakan proses untuk menjual perniagaannya di sana,” jelas gergasi makanan segera itu.

“Krisis kemanusiaan akibat perang di Ukraine, dan tercetusnya persekitaran operasi yang tidak menentu telah menyebabkan McDonald’s membuat kesimpulan bahawa pemilikan berterusan perniagaan di Rusia tidak lagi dapat dipertahankan,” tambahnya.

McDonald’s berkata bahawa mereka sedang berusaha menjual “keseluruhan portfolio restoran McDonald’s di Rusia kepada pembeli tempatan”.

Selepas jualan dilakukan, restoran tidak lagi boleh menggunakan nama, logo, penjenamaan atau menu McDonald’s, jelas McDonald’s.

Di Rusia, McDonald’s telah menguruskan secara langsung lebih daripada 80 peratus restoran yang menggunakan namanya, menyumbang kepada 9 peratus daripada hasil syarikat dan 3 peratus daripada keuntungan operasinya.

CEO McDonald’s, Chris Kempczinski berkata dalam satu kenyataan: “Kami amat berbangga dengan 62,000 pekerja yang bekerja di restoran kami, bersama ratusan pembekal Rusia yang menyokong perniagaan kami serta pemegang francais tempatan kami.”

“Dedikasi dan kesetiaan mereka kepada McDonald’s menjadikan pengumuman hari ini amat sukar,” ujar beliau.

Kempczinski bagaimanapun menjelaskan bahawa komitemen syarikat terhadap komuniti global dan keperluan untuk berdiri teguh dengan prinsip menyebabkan mereka terpaksa menutup operasi di Rusia.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *