Satu soalan yang sering ditanya oleh pemandu kereta di Malaysia ialah: “Adakah penunggang motosikal dibenarkan menyelit di antara kenderaan?” Lebih tepat lagi, adakah undang-undang di Malaysia yang melarang motosikal daripada melakukan lane splitting (atau lane filtering seperti dikenali di negara lain)?
Jawapannya ialah, tiada undang-undang khusus di Malaysia yang melarang perbuatan tersebut. Undang-undang hanya mentakrifkan peraturan memotong, iaitu kenderaan hanya dibenarkan memotong dari sebelah kanan, tetapi tidak menyatakan apa-apa mengenai penyelitan antara laluan.
Menurut portal kenderaan Paul Tan, sumber mereka dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, tiada peruntukan undang-undang yang melarang lane splitting.

Jadi, adakah motosikal dibenarkan menyelit di antara laluan?
Sumber itu menjelaskan bahawa walaupun penyelitan dibenarkan, ia mesti dilakukan dengan berhati-hati. “Abang, kalau nak selit, boleh, tapi kena bawa secara berhemah. Maksudnya jangan bawa laju, kena berhemah dan ikut aliran trafik,” katanya.
“Tapi rider kita ni, semua tak sabar, bawa macam pelesit,” tambahnya lagi. Menurut beliau, jika berlaku kemalangan semasa penyelitan, penunggang biasanya akan dikenakan tuduhan memandu tanpa cermat atau secara cuai.
“Sebagai polis, kami benarkan penyelitan supaya trafik dapat bergerak lancar dan mengurangkan kesesakan. Kalau kami paksa semua penunggang ikut barisan kereta, jem jadi berkali ganda lebih teruk,” katanya. “Penunggang perlu bawa secara defensif dan ikut had laju, itu penting, mereka mesti sentiasa peka dan berhati-hati,” tambah beliau.