kelapa-sawit-tebang-hutan

Parlimen EU Haramkan Import Barangan Berkaitan Penebangan Hutan

Parlimen Eropah pada Rabu meluluskan undang-undang penebangan hutan untuk mengharamkan import kopi, daging lembu, soya dan komoditi lain ke Kesatuan Eropah jika ia dikaitkan dengan pemusnahan hutan dunia.

Undang-undang tersebut akan menghendaki syarikat yang menjual barangan ke EU untuk mengeluarkan kenyataan usaha ketekunan wajar dan maklumat “boleh diverifikasi” yang membuktikan barangan mereka tidak ditanam di atas tanah yang ditebang selepas 2020, atau berisiko dikenakan denda yang tinggi.

Peraturan itu bertujuan untuk menghapuskan penebangan hutan daripada rantaian bekalan pelbagai barangan harian yang dijual di Eropah.

Ia akan dikenakan ke atas produk soya, daging lembu, minyak sawit, kayu, koko, kopi, getah, arang, dan produk terbitan termasuk kulit, coklat dan perabot.

Penebangan hutan telah mengakibatkan kira-kira 10% daripada pelepasan gas rumah hijau global yang mendorong perubahan iklim.

Undang-undang tersebut bertujuan untuk memastikan EU terhindari daripada turut menyumbang ke dalam pelepasan gas tersebut.

“Pengguna Eropah kini boleh yakin bahawa mereka tidak akan lagi terlibat secara tidak sengaja dalam penebangan hutan,” kata perunding undang-undang Parlimen, Christophe Hansen.

Undang-undang tersebut tidak menyasarkan mana-mana satu negara, tetapi telah menghadapi penolakan daripada beberapa negara yang akan terjejas dengannya.

Indonesia dan Malaysia, pengeksport minyak sawit terbesar dunia, telah mendaklwa EU menghalang akses pasaran untuk minyak sawit mereka berikutan EU merupakan pengimport minyak sawit ketiga terbesar di dunia.

Malaysia berkata ia boleh menghentikan pengeksportan minyak sawit ke EU sebagai tindak balas kepada undang-undang.

Undang-undang itu kini memerlukan kelulusan rasmi daripada negara-negara EU sebelum ia boleh berkuat kuasa.

Jika dipersetujui, syarikat besar akan mempunyai 18 bulan untuk mematuhi peraturan yang dikenakan sementara firma yang lebih kecil diberi tempoh selama 24 bulan.

Syarikat yang gagal mematuhi boleh dikenakan denda sehingga 4% daripada jumlah dagangan syarikat di negara anggota EU.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *