European-parliament3

Parlimen EU Luluskan Undian Simbolik Untuk Mengharamkan Import Tenaga Rusia

Parlimen Eropah hari ini meluluskan undian simbolik menuntut pengharaman menyeluruh ke atas semua import tenaga Rusia kepada EU, ditengah-tengah tindakan negara anggota yang mengenakan sekatan lebih ketat terhadap arang batu Rusia.

Undian di parlimen terhadap larangan “segera” ke atas arang batu, gas dan minyak Rusia, serta bahan api nuklear menunjukkan 513 menyokong, dengan 22 menentang dan 19 berkecuali.

Walaupun usul itu tidak mengikat, speaker parlimen, Roberta Metsola, menyebutnya sebagai “saat yang sangat penting” yang dapat menghantar “mesej paling kuat” ke Ukraine mengenai tahap sokongan EU kepada mereka.

Undian itu berasingan daripada perbincangan antara duta 27 negara EU yang diadakan pada hari Khamis mengenai kelulusan cadangan Suruhanjaya Eropah untuk menyekat arang batu Rusia dan beberapa langkah yang lain.

Beberapa negara EU ingin bertindak lebih agresif dengan mengharamkan minyak Rusia. Namun begitu, negara lain yang ekonominya sangat bergantung kepada bekalan tenaga Rusia seperti Jerman menentang usul itu.

Pada 2021, Rusia membekalkan 45 peratus daripada import arang batu EU, 25 peratus daripada import minyaknya dan sekitar 45 peratus daripada import gasnya.

Hidrokarbon ialah eksport Rusia yang paling penting, dan EU adalah pelanggan terbesar bagi produk tersebut.

Ketua dasar luar EU Josep Borrell pada hari Rabu memberitahu Parlimen Eropah bahawa pembelian bahan api fosil Rusia oleh EU telah memenuhi tabung Moscow sebanyak €35 bilion sejak pencerobohan 24 Februari ke atas Ukraine.

Jumlah itu mengatasi satu bilion euro yang telah diperuntukkan oleh EU untuk penghantaran senjata ke Ukraine, katanya.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *