Penutupan kerajaan AS akan memberi kesan ekonomi yang mendalam, bermula sedikit dan semakin mendalam dari semasa ke semasa apabila jutaan pekerja tidak bergaji, kontraktor swasta tidak dibayar dan ketidakpastian pengguna semakin meningkat akibat kerajaan tidak berfungsi.
Kontraktor-kontraktor persekutuan daripada SpaceX milik Elon Musk kepada penyedia perkhidmatan kebersihan untuk bangunan kerajaan bersiap sedia untuk menanggung kerugian sehingga AS$1.9 bilion (RM8.9 bilion) sehari apabila pembiayaan luput pada 1 Oktober ini.
Kira-kira 1.3 juta tentera bertugas aktif dan dua juta lagi pekerja persekutuan awam tidak akan menerima gaji untuk tempoh penutupan itu.
Walaupun pekerja persekutuan secara automatik akan mendapat gaji yang terlepas sebaik sahaja penutupan berakhir, namun tidak kepada pekerja-pekerja kontrak.
Penutupan itu juga akan mengakibatkan kesan besar berikutan kebimbangan dalam pasaran kewangan terhadap kadar faedah yang tinggi, kenaikan harga minyak dan mogok buruh sehingga mendorong kemerosotan saham AS daripada paras tertinggi pertengahan Julai.
Pengguna juga semakin bimbang tentang kedudukan kewangan dan prospek pekerjaan mereka, dengan keyakinan merosot ke paras terendah empat bulan pada bulan September.
Menurut laporan Bloomberg Economics pada 22 September lalu, setiap minggu penutupan kerajaan akan menurunkan pertumbuhan KDNK suku tahunan sebanyak 0.2 mata peratus.
Walaupun unjuran itu akan terhapus sebaik sahaja pembiayaan kerajaan dipulihkan, penutupan masih akan mempunyai “impak negatif yang sederhana secara keseluruhan disebabkan oleh aktiviti ekonomi dan ketidakpastian yang telah diketepikan”.
Bloomberg Economics meramalkan risiko luput pembiayaan persekutuan selama sebulan menyebabkan kadar pengangguran meningkat kepada 4% pada bulan Oktober.
“Semakin banyak penutupan berlangsung, semakin banyak ia memberi kesan kepada pekerja persekutuan,” kata penganalisis Goldman Sachs Alec Phillips.
“Semakin lama ia berlangsung, impak tidak langsung akan menjadi lebih besar,” tambahnya.
Pelbagai laporan ekonomi AS akan ditangguhkan semasa penutupan dan ia merumitkan keupayaan pelabur untuk menilai kesannya.