Mulai gaji bulan Oktober, majikan dan pekerja bukan warganegara Malaysia masing-masing wajib mencarum 2% daripada gaji bulanan mereka ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menurut laporan Bernama, KWSP menyatakan peraturan baharu ini terpakai kepada semua pekerja asing kecuali pembantu rumah, asalkan mereka mempunyai pasport sah dan permit kerja yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen.
Pada masa ini, penyertaan pekerja asing dalam skim KWSP adalah secara sukarela.
“Langkah mewajibkan caruman KWSP kepada kumpulan ini merupakan satu kemajuan penting dalam menyokong agenda negara bagi memastikan semua pekerja, tanpa mengira kewarganegaraan, mendapat akses kepada perlindungan sosial, sekali gus menggalakkan kesaksamaan dan keadilan dalam pasaran buruh,” menurut kenyataan itu.
KWSP turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang memperhebat usaha libat urus dan perundingan dengan majikan serta pihak berkepentingan utama bagi memastikan kesiapsiagaan menyeluruh sebelum pelaksanaan peraturan baharu ini.
Sejak pengumuman Belanjawan 2025, lebih 30 sesi libat urus strategik telah dijalankan bersama Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), NGO serta wakil majikan dan pekerja asing.
KWSP turut menggesa majikan supaya mendaftarkan syarikat mereka melalui laman web rasmi atau di mana-mana pejabat KWSP di seluruh negara.