Pelabur saham bersiap sedia! Masa untuk membeli saham ‘blue-chip’ hampir tiba

Boboi CTC
2 Min Read

Pelabur disaran bersiap sedia untuk mengumpul saham berwajaran tinggi (blue-chip), khususnya sekiranya FBM KLCI mengalami penyusutan di bawah paras psikologi penting 1,500 mata, menurut penganalisis.

Pada pembukaan dagangan hari Jumaat, indeks penanda aras itu susut sehingga 1.4 mata kepada 1,500.04 berbanding penutupan hari sebelumnya pada 1,501.44, sebelum pulih sedikit kepada 1,501.77 mata.

Sentimen pasaran secara keseluruhan kekal lemah, dengan 341 kaunter rugi mengatasi 205 kaunter untung, manakala 383 kaunter tidak berubah.

Indeks Perkhidmatan Kewangan merupakan satu-satunya sektor yang mencatatkan peningkatan, naik 0.5%. Sektor yang mencatatkan prestasi terburuk termasuk amanah pelaburan hartanah (REIT) yang susut 0.86%, diikuti sektor telekomunikasi dan media (-0.77%) serta pembinaan (-0.59%).

Suasana berhati-hati dalam pasaran saham turut dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik yang memuncak di Timur Tengah, apabila Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dijangka membuat keputusan dalam tempoh dua minggu sama ada untuk campur tangan dalam konflik antara Israel dan Iran.

Antara saham syarikat blue chip di Malaysia.

Sentimen turut terjejas berikutan kenyataan mengejut dari Rizab Persekutuan AS (Fed) yang bersikap hawkish, hanya menjangkakan satu kali pemotongan kadar faedah pada 2025 dan memberi isyarat kepada kadar faedah jangka panjang yang lebih tinggi.

Rakuten Trade menasihatkan pelanggannya supaya mula mengumpul saham-saham blue-chip, sambil menjangkakan tekanan jualan asing yang berterusan di Bursa Malaysia.

“Kami mencadangkan pelanggan mengumpul saham blue-chip jika indeks jatuh di bawah paras 1,500, sekitar tahap 1,480,” menurut kenyataan firma itu.

Sementara itu, Apex Securities menjangka pelabur akan memberi tumpuan kepada sektor defensif seperti REIT, perbankan dan utiliti, memandangkan pasaran dijangka kekal berlegar dalam julat sempit dan tidak menentu sehingga muncul pemangkin yang lebih jelas.

Firma itu turut menjangkakan sektor tenaga kekal menjadi pilihan berikutan ketegangan geopolitik semasa, manakala sektor pengguna dan perindustrian mungkin terus menerima tekanan susulan pelaksanaan perluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang akan berkuat kuasa dalam tempoh kurang dua minggu.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *