rubel-russian-pipeline

Pembayaran Dalam Rubel Mungkin Akan Dilaksanakan Bagi Semua Eksport Besar Rusia

Kerajaan Rusia dalam satu kenyataan semalam berkata bahawa pembayaran bagi semua eksport tenaga dan komoditi mereka berkemungkinan hanya dilakukan dalam rubel, menguatkan usaha Presiden Vladimir Putin untuk membalas sekatan yang dikenakan oleh negara Barat.

Rusia yang sedang berdepan krisis ekonomi serius sejak kejatuhan Kesatuan Soviet 1991, telah membalas sekatan Barat dengan mengarahkan pembayaran eksport gas Rusia hanya dalam rubel.

Keputusan Putin itu telah memaksa ekonomi terbesar Eropah, Jerman untuk mengisytiharkan “amaran awal” bahawa negara boleh menuju ke arah kecemasan bekalan berikutan 55 peratus gas Jerman pada tahun lalu diimport dari Rusia.

Malah untuk bertindak lebih keras terhadap sekatan Barat, para penggubal undang-undang Rusia mencadangkan untuk mengenakan pembayaran dalam rubel bagi hampir keseluruhan eksport tenaga dan komoditi.

Ditanya mengenai ulasan speaker parlimen Vyacheslav Volodin, jurucakap kerajaan Dmitry Peskov berkata: “Ini adalah idea yang pastinya akan diusahakan. Ia mungkin dapat dilaksanakan.”

Peskov berkata bahawa peranan dolar AS sebagai mata wang rizab global telah terjejas, dan langkah untuk menetapkan harga eksport terbesar Rusia dalam rubel adalah “untuk kepentingan kami dan kepentingan rakan kongsi kami.”

“Jika anda mahukan gas, carilah rubel,” kata Volodin dalam siaran di Telegram. “Malah, adalah tepat untuk kami meluaskan senarai produk eksport yang berharga dalam rubel termasuk: baja, bijirin, minyak makanan, minyak, arang batu, logam, kayu dan lain-lain.”

Rusia telah mengeksport ratusan bilion dolar gas asli ke Eropah setiap tahun menerusi Gazprom. Menurut syarikat kerajaan itu, mata wang euro menyumbang 58 peratus daripada eksport mereka, dolar AS 39 peratus dan sterling sekitar 3 peratus.

Bagaimanapun, Peskov berkata Rusia tidak akan menuntut pembeli untuk terus menukar pembayaran eksport gas dalam rubel, namun menjanjikan perubahan secara berperingkat.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *