svb-sillicon-valley-bank

Pengeluaran Panik, SVB Muflis, Kegagalan Perbankan AS Kedua Terbesar Sejak Krisis 2008

Silicon Valley Bank (SVB) berakhir dengan kejatuhan pada hari Jumaat lalu selepas mengalami krisis modal dan muflis dalam tempoh 48 jam sebelumnya.

Bank yang berpangkalan di California itu dilaporkan telah berusaha mengumpulkan sejumlah dana untuk menangani krisis tersebut.

Panik yang dicetuskan oleh komuniti pemodal yang berada di bawah khidmat SVB akhirnya telah menamatkan tempoh 40 tahun bank itu.

Ia merupakan kegagalan perbankan AS terbesar sejak krisis kewangan 2008 dan yang kedua terbesar pernah berlaku di Amerika Syarikat.

Kronologi keruntuhan bank terbesar AS seperti yang dilaporkan oleh CNBC International bermula daripada berita yang mengejutkan para pelabur bahawa SVB memerlukan dana sehingga AS2.25 bilion bagi menyokong penyata imbangannya.

Krisis modal ini tercetus apabila para pelanggan SVB di kalangan syarikat pemula telah mengeluarkan simpanan mereka untuk memastikan syarikat bertahan dalam persekitiran IPO dan pengumpulan dana persendirian.

Akibat kekurangan modal, SVB terpaksa menjual semua bon tersebut dengan kerugian AS$1.8 bilion.

Keperluan mendadak kepada modal baharu muncul selepas kejatuhan bank kripto Silvergate baru-baru ini mencetuskan pengeluaran panik para pendeposit SVB pada Khamis berjumlah AS$42 bilion.

Menurut pemfailan, pengeluaran besar-besaran pada hari itu telah mengakibatkan baki tunai SVB negatif AS$958 juta pada akhir dagangan serta gagal mendapatkan cagaran yang mencukupi daripada sumber lain.

Pada Jumaat, saham SVB terus menjunam dan bank menghentikan usaha untuk menjual saham mereka berikutan ketiadaan modal menyukarkan proses jual beli.

Akhirnya setelah aset-aset disita, para pelanggan yang masih bersama SVB berdepan dengan ketidaktentuan mengenai garis masa bagi mendapatkan kembali wang mereka kecuali deposit yang diinsuranskan.

“Pengeluaran deposit yang tergesa-gesa menyebabkan Bank tidak dapat membayar obligasinya apabila tiba masanya,” kata pengatur kewangan California. “Bank kini telah bankrap.”

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *