Penghataran Kereta Api pertama untuk laluan RTS Link Johor Bahru-Singapura

Aina Julia
3 Min Read

Kereta api tanpa pemandu pertama untuk projek Rapid Transit System (RTS) Link yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura telah sampai hari ini dan dijadualkan memulakan ujian di sebuah fasiliti bernilai S$800 juta (RM2.6 bilion) di Tuas bermula Julai ini.

Menurut laporan The Straits Times, tren empat gerabak sepanjang 76.5 meter itu diperkenalkan secara rasmi di Pusat Ujian Rel Singapura (Singapore Rail Test Centre, SRTC) dengan kehadiran pegawai kanan pengangkutan dari kedua-dua negara.

Antara yang hadir ialah Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura Jeffrey Siow, Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke, dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Pengerusi RTS Operations Sdn Bhd (RTSO), Datuk Khairil Anwar Ahmad, berkata bahawa projek ini bukan sahaja pencapaian kejuruteraan, tetapi juga mencerminkan hubungan dua hala Malaysia-Singapura yang semakin kukuh. RTSO, usaha sama antara SMRT Singapura dan Prasarana Malaysia, bertanggungjawab terhadap pembinaan dan operasi sistem rel ini.

Laluan kereta api RTS Link yang akan menghubungkan Johor Bahru dan Singapura.

Setakat ini, keseluruhan pemasangan sistem RTS Link telah mencapai 56 peratus, termasuk kerja pemasangan landasan dan sistem kuasa bagi menggerakkan tren. RTSO menjangkakan kerja pemasangan landasan akan siap sepenuhnya menjelang akhir Julai.

Kesemua lapan tren RTS Link dibina oleh syarikat China, CRRC Zhuzhou Locomotive. Setiap tren boleh membawa 607 penumpang secara optimum, dengan kapasiti maksimum sehingga 1,087 penumpang. Setiap gerabak dilengkapi 32 tempat duduk, termasuk empat tempat duduk lipat untuk kemudahan pengguna berkerusi roda, ibu bapa dengan kereta sorong bayi, atau penumpang dengan bagasi.

Tren ini juga dilengkapi sistem hearing induction loop yang membolehkan pengumuman disampaikan terus ke alat bantuan pendengaran (ciri pertama seumpamanya dalam sistem rel kedua-dua negara). Ciri keselamatan lain termasuk butang panggilan kecemasan, pintu yang boleh dibuka secara manual melalui hatch merah (yang hanya berfungsi apabila tren berhenti), serta tingkap boleh buka untuk aliran udara segar.

Hanya pintu yang menghadap laluan kecemasan di sepanjang laluan bertingkat atau terowong RTS Link boleh digunakan dalam situasi kecemasan. Sistem pengesan asap dan api turut dipasang sebagai langkah keselamatan tambahan.

Ujian di SRTC akan menumpukan kepada integrasi sistem tren dengan sistem isyarat dan pintu keselamatan platform. Ujian ini dijangka tamat pada penghujung 2025. Selepas ujian di Tuas, tren akan menjalani ujian simulasi perkhidmatan antara Woodlands North (Singapura) dan Bukit Chagar (Johor) sehingga suku ketiga tahun 2026.

Empat lagi tren kini sedang dipasang di fasiliti CRRC di Batu Gajah, Perak, manakala baki tiga akan menyusul kemudian. Apabila siap, tujuh tren selebihnya akan dihantar terus ke depoh Wadi Hana di Johor Bahru untuk ujian lanjut sebelum RTS Link mula beroperasi.

Apabila beroperasi sepenuhnya, tren ini akan bergerak pada kelajuan sehingga 80 kilometer sejam dan mampu membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah di sepanjang laluan sejauh 4 kilometer.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *