bitcoin-scam

Peniaga Lesap Lebih RM400 ribu Dalam Kes Penipuan Bitcoin

Seorang peniaga kedai makan berputih mata apabila kerugian sebanyak RM413,522 selepas disyaki terbabit dalam kes penipuan pelaburan Bitcoin melalui laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, pengadu yang juga lelaki berusia 56 tahun telah membuat laporan polis pada 21 Januari lalu.

Manga mendakwa ditipu selepas menyertai pelaburan berkenaan dan tidak mendapatkan pulangan seperti dijanjikan.

“Pengadu berkata, sekitar November 2023, ketika dia melayari Facebook, dia berminat dengan pelaburan dimaksudkan dan mendaftar melalui pautan yang disediakan.

“Pengadu kemudian berhubung dengan suspek yang dipercayai warga tempatan itu menerusi media sosial terbabit bagi tujuan membuat pembayaran,” ujarnya.

“Mangsa secara keseluruhan membayar RM413,522 kepada sembilan akaun berbeza sejak November tahun lalu hingga Januari tahun ini.

“Dalam tempoh dua bulan membuat pelaburan, mangsa mendapati keuntungan meningkat sebanyak AS$ 1.5 juta (RM7.1 juta) melalui aplikasi. Bagaimanapun, individu berkenaan memaklumkan mangsa perlu membayar RM176,575 untuk proses pengeluaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rahmat berkata, pengadu yang berasa tertipu kerana tidak dapat mengeluarkan keuntungan daripada pelaburan itu kemudian tampil membuat laporan polis.

Pada masa sama, Rahmat menasihatkan masyarakat supaya tidak tergesa-gesa dalam meraih keuntungan luar biasa dalam masa yang singkat.

“Berhati – hatilah sebelum menekan apa-apa pautan yang dipaparkan di media sosial dan jangan mudah gelap mata dengan tawaran yang diberikan.

“Sebarang bentuk tawaran pelaburan boleh dirujuk kepada Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti atau balai polis berhampiran untuk nasihat selanjutnya,” katanya.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *