Perancis, bakal mengenakan cukai baharu kepada individu berpendapatan tinggi

Aina Julia
2 Min Read

Perdana Menteri Perancis, Sebastien Lecornu, merancang untuk memperkenalkan cukai baharu ke atas individu berpendapatan tinggi. Ini merangkumi mereka yang memperoleh lebih daripada €250,000 (RM1.23 juta) setahun. Tindakan itu adalah sebahagian usaha mendapatkan sokongan parti pembangkang Sosialis terhadap belanjawan negara 2026.

Menurut laporan, Lecornu bercadang memperkenalkan dua langkah cukai yang menyasarkan pembayar cukai dengan pendapatan melebihi €250,000 (atau €500,000 bagi pasangan), dengan matlamat menjana tambahan hasil cukai sebanyak €3 bilion tahun depan.

Langkah pertama ialah memperbaharui cukai khas sementara yang diperkenalkan oleh perdana menteri terdahulu, Francois Bayrou, tahun lalu bagi memastikan semua isi rumah berpendapatan tinggi membayar sekurang-kurangnya 20% daripada pendapatan mereka dalam bentuk cukai.

Lecornu dilantik sebagai perdana menteri kelima di bawah Presiden Emmanuel Macron bulan lalu selepas parlimen menyingkirkan Bayrou.

Kerajaan minoriti itu juga berhasrat untuk membanteras penyalahgunaan syarikat pegangan (holding companies) oleh golongan ultra kaya yang menggunakannya sebagai “tabung peribadi” untuk mengelak cukai dividen. Kementerian Kewangan mengenal pasti kira-kira 30,000 struktur kewangan yang terlibat, termasuk mereka yang menerima dividen tetapi tidak mengagihkannya semula.

Langkah terhadap syarikat pegangan ini dijangka menjana lebih €1 bilion pada 2026, manakala keseluruhan sumbangan tambahan daripada golongan terkaya dijangka antara €4 bilion hingga €4.5 bilion. Kementerian Kewangan Perancis setakat ini belum memberi sebarang maklum balas terhadap laporan tersebut.

Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *