Israel melancarkan serangan ke atas ibu negara Iran, Tehran, awal pagi Jumaat, dengan letupan kuat kedengaran di seluruh bandar tersebut. Israel memaklumkan bahawa serangan itu menyasarkan tapak-tapak nuklear dan ketenteraan.
Serangan ini berlaku ketika ketegangan antara kedua-dua negara memuncak susulan kemajuan pesat program nuklear Iran. Pada Khamis, Lembaga Gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) buat pertama kali dalam tempoh 20 tahun mengambil tindakan mengecam Iran kerana kegagalannya bekerjasama dengan para pemeriksa. Sebagai tindak balas, Iran mengumumkan penubuhan tapak pengayaan uranium ketiga serta penggantian beberapa sentrifug dengan model yang lebih canggih.
Israel telah lama menyuarakan bahawa ia tidak akan membenarkan Iran membangunkan senjata nuklear. Meskipun Iran berulang kali menegaskan ia tidak berhasrat ke arah itu, walaupun beberapa pegawainya turut memberi amaran bahawa negara itu mampu membangunkannya.
Amerika Syarikat dilaporkan sudah membuat persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Ia telah menarik keluar sebahagian diplomat dari Baghdad dan menawarkan pemindahan secara sukarela kepada keluarga anggota tentera AS yang ditempatkan di Timur Tengah.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dalam ucapan melalui YouTube, menyatakan bahawa serangan akan diteruskan “selagi mana perlu untuk menghapuskan ancaman ini.”

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, menyatakan bahawa Israel bertindak secara sepihak terhadap Iran dan telah memaklumkan kepada AS bahawa serangan itu dilakukan atas dasar mempertahankan diri.
“Kami tidak terlibat dalam serangan terhadap Iran. Keutamaan utama kami ialah memastikan keselamatan pasukan tentera Amerika di rantau ini,” kata Rubio dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Rumah Putih.
Rubio turut memberi amaran kepada Iran agar tidak mensasarkan kepentingan atau anggota AS.
Orang ramai di Tehran dikejutkan oleh bunyi letupan yang kuat. Stesen televisyen nasional Iran mengesahkan kejadian tersebut. Buat masa ini, belum jelas kawasan mana yang menjadi sasaran, namun asap kelihatan di kawasan Chitgar, di barat Tehran. Tiada tapak nuklear yang diketahui wujud di kawasan itu, namun situasi di bahagian lain negara masih belum diketahui.
Seorang pegawai tentera Israel yang enggan dikenali berkata bahawa negaranya menyasarkan kemudahan nuklear Iran serta beberapa tapak ketenteraan lain. Beliau bercakap kepada wartawan dengan syarat identiti dirahsiakan kerana operasi masih berlangsung.
Susulan laporan serangan itu, harga minyak mentah Brent melonjak hampir 5%.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, turut mengesahkan bahawa negaranya melaksanakan serangan tersebut, namun tidak menjelaskan lokasi sebenar yang disasarkan.
“Selepas serangan pencegahan oleh negara Israel terhadap Iran, dijangka akan berlaku serangan balas dalam bentuk peluru berpandu dan dron terhadap Israel serta penduduk awamnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menandatangani perintah khas yang mengisytiharkan “keadaan kecemasan di bahagian dalam negara.”
“Adalah penting untuk mendengar arahan daripada pihak berkuasa dan pasukan pertahanan awam serta berlindung di tempat perlindungan,” tambah kenyataan itu.
Kedua-dua negara, Iran dan Israel, turut menutup ruang udara mereka.
Ketika letupan bermula di Tehran, Presiden Donald Trump berada di halaman Rumah Putih bersama ahli-ahli Kongres. Tidak jelas sama ada beliau telah dimaklumkan mengenai serangan itu, namun beliau dilihat terus bersalaman dan bergambar selama beberapa minit.
Trump sebelum ini menyatakan bahawa beliau telah meminta Netanyahu agar menangguhkan sebarang tindakan ketenteraan sementara AS sedang berunding dengan Iran.
“Selagi saya fikir masih ada peluang untuk mencapai persetujuan, saya tak mahu mereka bertindak, kerana ia akan menggagalkan rundingan,” kata Trump kepada wartawan.