kishida-japan

PM Jepun Kishida Gesa BoJ Kekalkan Dasar Monetari Ultra Longgar

Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida pada hari Selasa menggesa bank pusat Jepun (BoJ) untuk mengekalkan dasar monetari yang ultra longgar sekali gus mengenepikan idea untuk menggunakan kenaikan kadar faedah bagi mengelakkan penurunan yen yang berterusan.

Prospek perbezaan kadar faedah AS-Jepun yang semakin melebar telah mendorong yen turun ke paras terendah dua dekad berbanding dolar.

Angka ini mencetuskan kebimbangan di kalangan penggubal undang-undang kerana mata wang yang lemah boleh mendatangkan lebih banyak mudarat daripada kebaikan kepada ekonomi kerana akan menaikkan kos import.

Tambahan pula dengan kecenderungan Fed untuk menaikkan kadar faedah lebih agresif, beberapa pemain pasaran telah membuat spekulasi bahawa Kishida mungkin akan memberi tekanan kepada BoJ untuk mengubah dasar monetarinya yang longgar bagi membedung kejatuhan yen.

Namun Kishida berkata paras mata wang didorong oleh pelbagai faktor termasuk dasar ekonomi dan monetari.

“BoJ sedang melaksanakan dasar semasanya untuk mencapai sasaran inflasi 2%,” kata Kishida pada sidang akhbar.

“Kerajaan berharap bank pusat dapat meneruskan usahanya untuk mencapai matlamat itu,” jelas beliau.

Muncul dalam program televisyen pada hari ini, Kishida berkata kerajaan mesti melihat kedua-dua kesan positif dan negatif yen yang lemah kepada ekonomi.

“Yen yang lemah adalah positif untuk eksport dan syarikat Jepun yang mempunyai aset luar negara. Tetapi ia menjejaskan mata pencarian dan perniagaan orang ramai dengan menaikkan harga,” ujarnya.

BoJ dijangka akan terus mengekalkan sasaran kadar faedah ultra rendahnya pada mesyuarat dasar dua hari yang berakhir pada Khamis.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *