pm-ukraine-g7

PM Ukraine, Menteri Kewangan G7 Bincang Langkah Praktikal Untuk Pulih Daripada Perang

Perdana Menteri Ukraine, Denys Shmyhal berkata hari ini bahawa beliau dan menteri kewangan negara maju G7 telah membincangkan mengenai “langkah praktikal” untuk membantu Ukraine pulih daripada perang dengan Rusia.

“Ukraine melindungi seluruh dunia bertamadun. Sokongan daripada sekutu akan mempercepatkan kemenangan kami,” tulisnya di Twitter tanpa memberikan butiran.

“Walaupun Rusia berusaha untuk memusnahkan ekonomi kita, bersama-sama kita akan menang!” tambahnya.

Dalam satu kenyataan berasingan, kerajaan Ukraine berkata Shmyhal turut meminta lebih banyak bantuan kewangan untuk menampung defisit bajet bulanan Ukraine sekitar AS$5 bilion.

“Kami memerlukan sekurang-kurangnya $AS 5 bilion dalam tempoh tiga bulan akan datang untuk menampung keperluan ini. Bagi kami, hal ini sama pentingnya dengan senjata yang anda sediakan untuk melawan pencerobohan Rusia,” kata Shmyhal.

Beliau turut mengalu-alukan cadangan Suruhanjaya Eropah untuk memberikan bantuan makro-kewangan sebanyak €9 bilion kepada Ukraine.

Ukraine juga mengharapkan keputusan awal oleh Amerika Syarikat mengenai pakej bantuan $40 bilion, yang mana sehingga $9 bilion dapat diperuntukkan kepada bajet, jelasnya.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *