Gabungan parti pemerintah Jepun dijangka hilang kuasa ke atas Dewan Negara dalam pilihan raya yang berlangsung pada Ahad lepas. Menurut laporan penyiar awam NHK, ianya satu keputusan yang akan melemahkan lagi cengkaman kuasa Perdana Menteri Shigeru Ishiba tatkala tarikh akhir rundingan tarif dengan Amerika Syarikat semakin hampir.
Walaupun keputusan pilihan raya ini tidak secara langsung menentukan sama ada pentadbiran Ishiba akan tumbang, ia meningkatkan tekanan politik terhadap beliau yang sebelum ini telah pun kehilangan kawalan ke atas Dewan Rakyat yang lebih berkuasa dalam pilihan raya Oktober lalu.
NHK melaporkan awal pagi Isnin bahawa Parti Liberal Demokratik (LDP) pimpinan Ishiba dan rakan gabungan mereka, Komeito, pasti gagal memperoleh 50 kerusi yang diperlukan untuk menguasai Dewan Negara yang mempunyai 248 kerusi. Di mana separuh daripadanya dipertandingkan dalam pilihan raya kali ini. Masih terdapat enam kerusi yang belum diumumkan.
Ini menambah kepada prestasi terburuk gabungan itu dalam tempoh 15 tahun semasa pilihan raya Dewan Rakyat Oktober lalu. Satu keputusan yang menjadikan kerajaan Ishiba terdedah kepada usul undi tidak percaya dan tekanan dari dalam partinya sendiri untuk menukar kepimpinan.

Bercakap kepada NHK lewat malam Ahad selepas keputusan tinjauan keluar diumumkan, Ishiba berkata beliau “menerima keputusan yang pahit ini dengan penuh pasrah.”
“Kami sedang berunding mengenai tarif dengan Amerika Syarikat dalam suasana yang amat kritikal… kami tidak boleh memusnahkan rundingan ini. Adalah wajar untuk menumpukan sepenuh tenaga kami demi kepentingan negara,” katanya kepada TV Tokyo selepas itu.
Apabila ditanya sama ada beliau akan kekal sebagai perdana menteri dan ketua parti, Ishiba menjawab, “Ya.”
Jepun, ekonomi keempat terbesar dunia, menghadapi tarikh akhir pada 1 Ogos untuk memeterai perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat atau berdepan tarif berat dalam pasaran eksport utamanya.
Parti pembangkang utama, Parti Demokratik Perlembagaan Jepun, dijangka menduduki tempat kedua berdasarkan kiraan undi semasa.
Sementara itu, parti sayap kanan tegar Sanseito, yang mula dikenali melalui YouTube beberapa tahun lalu, membuat kemunculan mengejut dalam politik arus perdana dengan kempen “Utamakan Jepun” serta amaran tentang “penjajahan senyap” oleh warga asing, yang menarik sokongan lebih meluas. Parti itu dijangka menambah sekurang-kurangnya 13 kerusi kepada satu kerusi yang dimenangi sebelum ini.
