Tiga rakyat Malaysia, termasuk seorang penyanyi rap tempatan, telah ditahan di Laos pada 27 Mei lalu kerana disyaki cuba menyeludup 103 paket ganja seberat kira-kira 86 kilogram melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay di Vientiane.
Menurut laporan Kosmo! Online yang memetik The Laotian Times, ganja tersebut disembunyikan dalam enam beg pakaian dan dipercayai dihantar ke Jerman.
Pihak berkuasa yang terdiri daripada pegawai kastam, keselamatan lapangan terbang dan agensi penguatkuasaan lain dikatakan mula mengesyaki ketiga-tiga suspek ketika pemeriksaan rutin dilakukan.

Pemeriksaan lanjut terhadap bagasi mereka menemui 103 paket ganja dengan anggaran berat keseluruhan 86 kilogram.
Difahamkan, suspek sedang bersiap untuk menaiki penerbangan Thai Airways ke Jerman, yang dipercayai destinasi akhir penghantaran dadah tersebut.
Sementara itu, New Straits Times hari ini memetik kenyataan Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali, yang mengesahkan penahanan tersebut.
“Kami sedang menyiasat sama ada ganja ini berasal dari Malaysia atau Thailand,” katanya.
Siasatan masih dijalankan, dan pihak berkuasa Malaysia sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Laos untuk mengenal pasti punca dadah itu serta mengesan sebarang kaitan dengan rangkaian penyeludupan antarabangsa.