samsung display

Samsung Display Labur RM7.5 Bilion Bina Kilang Paparan OLED di Vietnam

Samsung Display Co dari Korea Selatan merancang untuk melabur sebanyak AS$1.8 bilion (RM7.5 bilion) bagi membina sebuah kilang di utara Vietnam untuk menghasilkan paparan OLED bagi kenderaan dan peralatan teknologi, kata negara Asia Tenggara itu semalam.

Kemudahan baharu bagi pembuatan paparan diod pemancar cahaya organik (OLED) itu akan terletak di taman perindustrian Yen Phong di wilayah Bac Ninh, timur Hanoi dan berhampiran dengan kilang Samsung Electronics yang sedia ada, kata kerajaan dalam satu kenyataan selepas pertemuan antara Perdana Menteri Pham Minh Chinh dan Choi Joo Ho, Pengarah Besar kumpulan Samsung di Vietnam.

Samsung Display adalah unit Samsung Electronics, yang merupakan syarikat utama dalam kumpulan Samsung.

Pihak berkuasa Bac Ninh dan Samsung Display juga semalam menandatangani memorandum persefahaman mengenai projek tersebut, lapor media tempatan, sambil menambah bahawa pelaburan ini akan meningkatkan jumlah pelaburan kumpulan Samsung di Bac Ninh kepada AS$8.3 bilion daripada AS$6.5 bilion ketika ini.

Kumpulan Samsung tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan untuk komen.

Vietnam dalam dekad terakhir telah muncul sebagai salah satu pusat pengeluaran paling menarik bagi syarikat elektronik.

Menurut Choi, kumpulan Samsung telah menubuhkan enam kilang pembuatan, satu pusat penyelidikan dan pembangunan, serta satu entiti jualan di Vietnam, dengan jumlah pelaburan sebanyak AS$22.4 bilion.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *