lv

Sektor Barangan Mewah Tinjau Pembukaan Semula China

Sektor barangan mewah kini sedang meninjau pembukaan semula China bagi mencari momentum pengembangan selanjutnya pada 2023 setelah setahun mencatatkan rekod jualan dan keuntungan walaupun dengan pertumbuhan global yang perlahan.

Kumpulan mewah terbesar di dunia, LVMH mencatatkan lonjakan 23 peratus dalam jualan kepada rekod €79 bilion (AS$86 bilion) pada 2022 dan menyaksikan keuntungan meningkat 17 peratus kepada €14 bilion.

Ketua eksekutif syarikat itu, Bernard Arnault, mahu meneruskan laluan yang sama pada 2023, “dengan risiko akan berlaku perkara yang tidak menyenangkan” akibat pilihan tersebut.

Saingan LVMH juga berjaya mencatatkan pertumbuhan pesat dalam jualan dan keuntungan pada tahun lalu.

Jualan di Hermes melonjak 29 peratus kepada €11.6 bilion sementara keuntungan melonjak 38 peratus kepada rekod €3.4 bilion.

Kering, kunmpulan mewah Perancis walaupun menghadapi masa yang sukar untuk jenama utamanya Gucci, masih berjaya meningkatkan jualan sebanyak 15 peratus kepada €20 bilion, manakala keuntungan meningkat 14 peratus kepada €3.6 bilion.

Ferrari turut menyaksikan perlumbaan jualan ke rekod baharu €5 bilion, menghasilkan 13,221 unit kenderaan tahun lepas.

Pendapatan pada 2022 hampir tidak terjejas oleh gangguan di China yang dikaitkan dengan penamatan sekatan perjalanan berkaitan pandemik.

Malah, Hermes antara jenama yang terlepas daripada sebarang gangguan. “Tiada penurunan trafik di kedai kami,” kata ketua eksekutif Hermes, Axel Dumas dalam satu kenyataan.

Dengan sekatan yang mengekang penggunaan, pembukaan semula ekonomi China dilihat sebagai peluang pertumbuhan untuk 2023.

Penganalisis di UBS berkata 2023 akan menjadi “tahun pengguna China”, dengan menyatakan bahawa sekatan pandemik menurunkan bahagian pengguna China dalam perbelanjaan mewah global kepada 17 peratus tahun lepas, berbanding 33 peratus sebelum wabak.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *