clarida-fed

Skandal Dagangan Memuncak, Naib Pengerusi Fed Umum Letak Jawatan Lebih Awal

Richard Clarida, naib pengerusi Federal Reserve pada 10 Januari mengumumkan bahawa beliau akan meletakkan jawatannya dua minggu lebih awal daripada yang dirancang.

Walaupun tiada alasan diutarakan, Clarida telah berdepan dengan penelitian baharu terhadap perdagangan yang dilakukannya pada tahun 2020 ketika bank pusat menyatakan kesediaan untuk menyelamatkan pasaran kewangan.

“Dengan tempoh berkanun saya sebagai gabenor yang akan tamat pada 31 Jan 2022, saya menulis untuk memaklumkan anda bahawa saya berhasrat untuk meletakkan jawatan daripada lembaga pada 14 Jan 2022,” tulis Clarida dalam sepucuk surat kepada Presiden Joe Biden yang diterbitkan oleh Fed pada Isnin lalu.

The New York Times pada minggu lepas melaporkan bahawa Clarida telah membetulkan pendedahan kewangan 2020-nya pada akhir Disember.

Pakar etika berkata bahawa salah satu dagangannya telah menimbulkan persoalan: Dia menjual dana saham pada 24 Feb sebelum membelinya semula pada 27 Feb, sejurus sebelum pengerusi Fed Jerome Powell mengumumkan pada 28 Feb bahawa Fed bersedia untuk membantu pasaran dan ekonomi.

Pendedahan awalnya hanya menyatakan pembelian dana saham, yang dijelaskan oleh Fed sebagai pengimbangan semula portfolio. Namun pergerakan pantas keluar dan kembali ke dalam saham menyebabkan transaksi itu menjadi tanda tanya.

Kedua-dua Fed mahupun Encik Clarida tidak memberikan penjelasan tentang apa yang berlaku dengan perdagangan itu, walaupun pejabat etika Fed menyatakan dalam pemfailan yang dikemas kini bahawa ia kelihatan masih mematuhi undang-undang konflik kepentingan.

Isu ini sedikit mengugat kedudukan Powell, yang telah dinamakan semula untuk kembali ke jawatannya oleh Biden dan dijadualkan hadir pada hari ini untuk memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Perbankan Senat.

Powell dan ahli lembaga bank pusat yang lain bagaimanapun telah merombak garis panduan etika bank pusat pada bulan Oktober, merancang untuk membaik pulihnya dan menghalang pelbagai jenis aktiviti kewangan, termasuk perdagangan semasa kegawatan sebagai tanda keseriusan Fed dalam mengendalikan isu tersebut.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *