SPRM akan siasat projek MyKiosk jika wujud unsur rasuah

Aina Julia
2 Min Read

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan bahawa siasatan akan dimulakan sekiranya wujud unsur rasuah atau salah laku dalam projek MyKiosk di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menurut laporan Berita Harian, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima laporan berhubung isu tersebut, termasuk dokumen berkaitan yang diserahkan oleh pihak kementerian.

“Saya boleh sahkan bahawa laporan diterima semalam daripada MCA. Hari ini pula, KPKT telah menyerahkan beberapa dokumen berkaitan projek MyKiosk.

“Saya beri jaminan, sekiranya ada unsur rasuah, SPRM akan menyiasat. Beri kami masa untuk teliti semua bukti,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini.

KPKT sebelum ini telah menyerahkan dokumen berkaitan projek MyKiosk kepada SPRM, susulan dakwaan kos pelaksanaan projek yang didakwa terlalu tinggi. Penyerahan tersebut dibuat secara sukarela sebagai tanda komitmen kementerian terhadap ketelusan dan integriti dalam pelaksanaan projek berkenaan.

Tindakan itu menyusul selepas laporan polis dibuat oleh Pemuda MCA Selangor yang mendesak SPRM menyiasat projek yang dikendalikan oleh KPKT itu.

Azam turut memaklumkan bahawa setakat ini, belum ada kertas siasatan dibuka.

“Setakat ini, maklumat yang kami terima kebanyakannya berpunca daripada media sosial. Sebelum ini, SPRM tidak menerima laporan rasmi lengkap dengan dokumen, kenyataan atau bukti lain.

“Oleh itu, saya ingin tegaskan bahawa sebarang isu yang dibangkitkan melalui media sosial perlu disahkan terlebih dahulu. Kita tidak boleh membuat kesimpulan secara tergesa-gesa,” katanya.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *