SPRM menyatakan permohonan maaf kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock

Aina Julia
3 Min Read

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyatakan permohonan maaf kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock, pembantu politik yang ditemui mati pada tahun 2009 di bangunan pejabat SPRM Selangor.

Pada ulang tahun ke-16 kematian Teoh, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya mengakui dapatan daripada pelbagai siasatan berkaitan kes tersebut selama 16 tahun ini, termasuk siasatan terkini oleh pihak polis yang telah diklasifikasikan sebagai “Tiada Tindakan Lanjut” oleh Jabatan Peguam Negara.

“Walaupun siasatan terkini tidak menemui bukti mencukupi untuk mendakwa mana-mana individu di bawah undang-undang, SPRM memandang serius hakikat bahawa mendiang Teoh Beng Hock ditemui mati di premis SPRM Selangor pada 16 Julai 2009.

“Insiden tragis ini memberi kesan yang mendalam bukan sahaja kepada keluarga mendiang, tetapi juga kepada seluruh warga SPRM dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Sehubungan itu, saya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM ingin merakamkan rasa simpati yang mendalam dan memohon maaf kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock atas kesakitan dan penderitaan yang mereka tanggung selama ini,” tambah beliau.

Teoh Beng Hock Association for Democratic Advancement ditubuhkan bagi membela keadilan untuk keluarga mendiang serta mengelakkan perkara yang sama dari berulang.

Azam turut memaklumkan bahawa kerajaan Malaysia sebelum ini telah membayar pampasan sebanyak RM600,000 kepada keluarga Teoh pada 12 Mei 2015, selain kos guaman sebanyak RM60,000 sebagai penyelesaian penuh dan muktamad.

“Namun demikian, sebagai tanda keprihatinan, SPRM bersedia memberikan sumbangan kebajikan kepada keluarga mendiang Teoh bagi menyokong kebajikan dan pendidikan anak beliau,” katanya, tanpa mendedahkan jumlah sumbangan tersebut.

Dalam kenyataan sama, Azam turut menyenaraikan pembaharuan yang telah dilakukan oleh SPRM sejak insiden kematian Teoh bagi menjaga kebajikan individu yang membantu siasatan SPRM.

Antaranya termasuk penubuhan Bilik Temuduga Video (VIR) untuk merakam kenyataan saksi, tahanan dan suspek; serta pemindahan Bilik Temu Bual Saksi ke aras bawah bagi memudahkan akses dan meningkatkan ketelusan pemantauan.

SPRM juga telah menaik taraf sistem CCTV menggunakan teknologi terkini, menambah bilangan kamera, serta menempatkannya secara strategik untuk memantau dan merakam pergerakan serta tingkah laku semua individu yang memasuki premisnya.

“SPRM kekal komited untuk menegakkan integriti dan ketelusan dalam setiap aspek tugasnya serta terus memperkukuh pembaharuan institusi,” katanya.

Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *