menara-ilham

SPRM Sita Menara Ilham Milik Tun Daim, Namun Operasi Perniagaan Berjalan Seperti Biasa

Pensitaan Menara Ilham milik bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin walaupun menjadi tajuk utama di dada-dada akhbar pada minggu lalu, namun tiada notis rampasan diletakkan di bangunan tersebut.

Orang ramai dan pekerja pelbagai syarikat yang berpangkalan di menara tersebut masih dilihat keluar dan masuk bangunan, menjalankan pekerjaan seperti biasa. Perniagaan Hotel Element juga dilihat masih beroperasi.

The Star dalam satu laporan berkata sumber dalaman berkaata bahawa para penyewa menerima e-mel daripada pihak pengurusan bangunan berkenaan mengenai pensitaan itu.

“Bagaimanapun, mereka berkata operasi akan diteruskan. Semuanya seperti biasa,” katanya.

Seorang lagi pekerja berkata dia pada mulanya bimbang selepas membaca berita mengenai penistaan itu. “Komputer riba saya berada di dalam bangunan. Saya bimbang saya tidak dapat masuk.”, lapor The Star.

SPRM telah menyita menara itu selepas mendapati satu kesalahan telah dilakukan di bawah Akta SPRM 2009. Notis bertarikh 18 Disember daripada SPRM disiarkan di media tempatan mengenai pensitaan itu.

Pada Mei tahun ini, SPRM berkata ia sedang mengumpul maklumat membabitkan dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion oleh seorang bekas menteri dan ahli perniagaan. Siasatan itu dilaporkan dikaitkan dengan kebocoran “Kertas Pandora” oleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ).

Kertas Pandora merujuk kepada jutaan dokumen yang bocor dalam talian pada 2021, yang didakwa mendedahkan akaun luar pesisir pemimpin-pemimpin masa kini dan masa lalu dari seluruh dunia.

Menara itu juga merupakan tempat pertemuan Majlis Penasihat Kerajaan, yang ditubuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 2018.

Daim adalah ketua majlis itu, yang turut termasuk bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan jutawan Robert Kuok, antara lain.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *