SPRM sita hartanah dan barangan mewah Tan Sri berkaitan penyelewangan dana sukuk lebuh raya

Aina Julia
2 Min Read

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyita enam buah kediaman mewah dan sebidang tanah milik seorang individu bergelar “Tan Sri” dalam siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana sukuk yang sepatutnya digunakan bagi pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.

Menurut laporan The Star yang memetik sumber, hartanah yang dianggarkan bernilai sekitar RM12 juta itu telah dirampas hasil serbuan oleh Bahagian Siasatan SPRM.

Susulan itu, SPRM telah memanggil individu berkenaan serta isterinya untuk disoal siasat. Namun, hanya isterinya hadir kerana Tan Sri tersebut dilaporkan mengalami masalah kesihatan.

SPRM juga memaklumkan bahawa antara 30 hingga 50 saksi akan dipanggil bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan. Usaha turut diteruskan bagi mengesan aset pasangan tersebut di dalam dan luar negara.

Antara koleksi beg tangan mewah yang disita.

Awal minggu ini, SPRM turut menyita aset mewah bernilai RM32 juta dalam serbuan ke atas dua kediaman milik Tan Sri itu di ibu negara. Antara barangan yang dirampas termasuk sembilan buah kenderaan mewah jenama Bentley, Mercedes-Benz dan Range Rover, dianggarkan hampir RM7 juta.

Turut ditemui ialah 217 utas jam tangan mewah bernilai RM5 juta, 27 beg tangan berjenama melebihi RM1 juta, serta barang kemas bernilai kira-kira RM4 juta. Satu ruang simpanan rahsia yang mengandungi minuman keras mewah bernilai RM3 juta juga dijumpai, dipercayai berkait dengan aktiviti pengubahan wang haram.

SPRM turut menyita sebuah kondominium mewah bernilai RM12 juta, dan semua barangan tersebut kini disiasat di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.

Siasatan ini bermula pada 9 Mei lalu susulan penahanan empat individu yang disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM360 juta bagi projek lebuh raya antara tahun 2016 hingga 2017. Setakat ini, lebih RM36 juta dalam bentuk aset telah dirampas.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *