subaru-ev-charging

Subaru Jepun Sasar EV Akan Bentuk Separuh Jualan Tahunan Globalnya Menjelang 2030

Subaru menyasarkan jualan tahunan sebanyak 600,000 kenderaan elektrik bateri menjelang 2030 supaya ia membentuk 50 peratus daripada sasaran jualan globalnya.

Pembuat kenderaan dari Jepun itu juga berkata ia merancang untuk melabur kira-kira 1.5 trilion yen (AS$10.51 bilion) menjelang permulaan dekad akan datang dalam bidang elektrifikasi.

“Lima tahun akan datang hingga 2028 adalah tempoh yang sangat penting bagi kami untuk merealisasikan matlamat tersebut,” kata CEO Subaru, Atushi Osaki.

Sebelum ini Subaru menyasarkan untuk mempunyai bateri EV dan hibrid menyumbang sekurang-kurangnya dua perlima daripada jualan global tahunan yang dijangka berjumlah sekitar 1.2 juta kenderaan menjelang 2030.

Mereka turut menyasarkan untuk menjual 400,000 EV bateri di Amerika Syarikat pada 2028, dan mengembangkan barisan berkuasa baterinya kepada lapan model menjelang akhir tahun itu.

Ia kini membuat EV pertama yang dikeluarkan secara besar-besaran, Solterra, di kilang Toyota Motomachi, dan akan memperkenalkan tiga EV baharu menjelang akhir 2026 dan empat lagi menjelang akhir 2028.

Dengan sasaran baharunya, Subaru, yang terkenal dengan pergantungan kepada pasaran Amerika Utara, mengikuti pengeluar kereta Jepun yang lebih besar seperti Toyota dalam mempergiatkan usaha elektrifikasinya.

Subaru, yang juga sebahagiannya dimiliki oleh Toyota, berkemungkinan akan memulakan pengeluaran bateri EV di Amerika Syarikat sekitar 2027 atau 2028, kata Osaki

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *