Bilionair Elon Musk pada hari Rabu mengumumkan beliau meletakkan jawatan daripada peranannya dalam kerajaan Amerika Syarikat. Jawatan yang disandangnya itu bertujuan untuk mengurangkan perbelanjaan persekutuan. Peletakan jawatan itu adalah susulan tidak lama selepas beliau menyuarakan ketidaksetujuan terhadap rang undang-undang perbelanjaan utama Presiden Donald Trump.
Usahawan teknologi kelahiran Afrika Selatan itu sebelum ini berkata bahawa rang undang-undang Trump itu akan meningkatkan defisit negara dan menjejaskan usaha Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE), yang telah memberhentikan puluhan ribu pekerja awam.
Musk sebelum ini sering dilihat bersama Trump sebelum menarik diri untuk menumpukan perhatian kepada syarikatnya, SpaceX dan Tesla. Beliau turut mengadu bahawa DOGE kini menjadi “kambing hitam” atas ketidakpuasan terhadap pentadbiran.
Rang undang-undang Trump yang digelar “One Big, Beautiful Bill Act” telah diluluskan oleh Dewan Perwakilan AS minggu lalu dan kini bergerak ke Senat. Ianya menawarkan pemotongan cukai dan perbelanjaan yang meluas, serta menjadi tonggak utama agenda domestik Trump.
Namun, pengkritik memberi amaran bahawa undang-undang itu akan melemahkan sistem penjagaan kesihatan dan menyebabkan defisit kebangsaan meningkat sehingga AS$4 trilion dalam tempoh sepuluh tahun.

‘Kambing hitam’
Trump melantik Musk mengetuai DOGE untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan. Namun selepas permulaan yang penuh semangat, Musk pada akhir April mengumumkan bahawa beliau akan kembali fokus kepada syarikat-syarikatnya.
Dalam satu wawancara berasingan bersama Washington Post, Musk berkata bahawa DOGE telah menjadi sasaran kemarahan orang ramai.
Musk menyalahkan birokrasi kerajaan AS yang tebal sebagai penghalang kejayaan DOGE. Walaupun laporan turut menyebut gaya kepimpinannya yang keras serta kurang pengetahuan tentang politik Washington turut menyumbang kepada kegagalan.
Musk sebelum ini juga mengakui beliau tidak mencapai semua matlamat bersama DOGE walaupun puluhan ribu kakitangan kerajaan telah diberhentikan dan beberapa jabatan telah ditutup. Syarikat miliknya sendiri turut terjejas dalam tempoh tersebut.
Para penunjuk perasaan yang menentang pemotongan perbelanjaan menyasarkan premis Tesla, malah ada yang membakar kereta elektrik tersebut, menyebabkan keuntungan syarikat menjunam.