Sunway Group Bhd melihat IJM Corporation Bhd (IJM Corp) sebagai peluang pelaburan yang menarik, sekali gus mendorong syarikat itu mengemukakan tawaran pengambilalihan terhadap syarikat berkenaan, kata pengasas dan pengerusinya, Tan Sri Jeffery Cheah.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan sama ada menerima atau menolak tawaran tersebut terletak sepenuhnya di tangan pemegang saham IJM Corp, yang diberikan tempoh sehingga 6 April 2026 untuk membuat keputusan.
Menurutnya, tiada keperluan mendesak untuk melaksanakan pengambilalihan secara wajib dan pelbagai spekulasi yang timbul hanyalah reaksi pasaran. Beliau menjelaskan bahawa langkah pengambilalihan itu dibuat semata-mata atas pertimbangan komersial kerana IJM Corp dilihat sebagai aset pelaburan yang menarik selain masa pelaksanaannya dianggap sesuai.

Tambahnya, pemegang saham tidak dipaksa untuk menjual pegangan mereka kepada Sunway. Jika mereka bersetuju menjual, urus niaga akan diteruskan, namun sekiranya tidak, Sunway bersedia menarik diri daripada tawaran tersebut. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran prospektus tawaran awam permulaan (IPO) Sunway Healthcare Holdings Bhd.
Pada 12 Januari lalu, Sunway mencadangkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat bagi memperoleh keseluruhan 3.51 bilion saham IJM Corp pada harga tawaran RM3.15 sesaham. Sunway menjangkakan cadangan pengambilalihan tersebut dapat diselesaikan menjelang suku ketiga tahun 2026.
Kumpulan itu memaklumkan bahawa sekiranya tawaran berkenaan diterima sepenuhnya dan tiada pelarasan dibuat terhadap harga tawaran, jumlah nilai keseluruhan urus niaga dianggarkan sekitar RM11 bilion, yang akan diselesaikan melalui gabungan pembayaran tunai serta penerbitan saham biasa baharu Sunway.
