Pasaran besi perak huru-hara akibat “short squeeze” di London

Boboi CTC
2 Min Read

Pasaran perak London kini dilanda kekacauan akibat tekanan jualan singkat (short squeeze) besar-besaran yang menyebabkan harga melonjak melebihi AS$50 (RM211.18) satu auns. Ini adalah kali kedua ianya berlaku dalam sejarah. Kali pertama semasa insiden cubaan dua beradik bilionair Hunt menguasai pasaran pada tahun 1980.

Harga penanda aras di London melonjak ke paras yang hampir tidak pernah berlaku, jauh mengatasi harga di New York. Pedagang menggambarkan keadaan pasaran yang hampir kering sepenuhnya dari segi kecairan, menyebabkan mereka yang menanggung posisi jual singkat sukar mendapatkan bekalan perak fizikal dan terpaksa menanggung kos pinjaman yang tinggi untuk menangguhkan urus niaga mereka.

Tekanan pasaran kini begitu ketara hingga ada pedagang menyewa ruang kargo penerbangan transatlantik untuk menghantar jongkong perak. Ini adalah cara penghantaran yang biasanya hanya digunakan untuk emas. Situasi itu berlaku bagi mengambil keuntungan daripada perbezaan harga besar antara pasaran London dan New York.

Anant Jatia, Ketua Pegawai Pelaburan di Greenland Investment Management menyatakan yang beliau kali pertama menyaksikan kejadian seperti itu.

Menurut penganalisis, tiada pihak yang cuba “memonopoli” pasaran seperti yang dilakukan keluarga Hunt dahulu, namun lonjakan harga kali ini berpunca daripada gabungan beberapa faktor. Walaupun berbeza punca, kekacauan pasaran ini mengingatkan banyak pihak kepada krisis 1980, malah dalam beberapa aspek lebih serius.

Selama lebih satu abad, London menjadi pusat pasaran logam berharga dunia di mana harga penanda aras ditentukan oleh beberapa bank utama yang berdagang jongkong emas dan perak yang disimpan dalam peti simpanan khas di sekitar bandar itu. Namun kebelakangan ini, peningkatan harga didorong oleh lonjakan pelaburan ke dalam emas dan perak susulan kebimbangan terhadap peningkatan hutang di Barat dan penyusutan nilai mata wang, yang diperhebat oleh kebuntuan bajet serta penutupan kerajaan AS.

Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *