coinbase-btc

Syarikat Pertukaran Kripto Coinbase Akan Kecilkan Operasi Di Jepun

Pertukaran mata wang kripto yang berpangkalan di m AS, Coinbase Global Inc menutup sebahagian besar operasinya di Jepun sebagai sebahagian daripada langkah untuk menyesuaikan pelaburan antarabangsa di tengah-tengah kemerosotan dalam sektor aset digital.

Peralihan itu berlaku apabila firma itu mengurangkan 20% daripada tenaga kerjanya di seluruh dunia, pemberhentian terbaru oleh Coinbase.

Coinbase akan mengecilkan operasi di Jepun walaupun negara itu melonggarkan beberapa peraturan kripto, yang mana telah mendorong pesaing Binance mendapatkan lesen untuk kembali ke negara itu.

“Kami telah memutuskan untuk menghentikan sebahagian besar operasi kami di Jepun, yang membawa kepada menghapuskan sebahagian besar peranan dalam entiti Jepun kami,” kata Nana Murugesan, naib presiden bagi pembangunan perniagaan dan antarabangsa.

Beliau bagaimanapun berkata Coinbase tidak akan mengulas mengenai potensi penggabungan dan aktiviti pengambilalihan apabila ditanya sama ada unit Jepun itu akan dijual.

Industri aset digital telah ditekan oleh kerugian AS$2 trilion dalam harga token daripada kemuncaknya pada 2021.

Ditambah dengan beberapa siri kejutan baharu termasuk kebankrapan FTX, perkara itu telah mencetuskan satu siri pemberhentian kerja di syarikat-syarikat kripto.

Dalam mengharungi kemelesetan industri, Coinbase telah memecat kira-kira 950 pekerja di seluruh dunia dan akan menutup projek yang mempunyai potensi kejayaan yang rendah, kata CEO Coinbase, Brian Armstrong.

Coinbase berada dalam tempoh peralihan sehingga perbincangan dengan Agensi Perkhidmatan Kewangan Jepun dimuktamadkan dan sebilangan kecil pekerja akan kekal untuk memastikan keselamatan aset pelanggan, jelas Murugesan.

Firma yang berpangkalan di San Francisco itu sebelum ini bekerjasama dengan Mitsubishi UFJ Financial Group Inc untuk melancarkan pertukaran kripto di Jepun pada tahun 2021.

Syarikat itu telah lama menumpukan perhatian untuk meningkatkan kehadirannya di luar negara, dengan Armstrong berkata “pengembangan antarabangsa benar-benar teras kepada misi kami untuk meningkatkan kebebasan ekonomi di dunia ”.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *