Eco-Shop Marketing Bhd, rangkaian kedai diskaun dengan lebih 350 cawangan di seluruh Malaysia, bakal disenaraikan di Bursa Malaysia pada hari Jumaat. Ini menjadikannya tawaran awam permulaan (IPO) terbesar di negara ini bagi tahun 2025.
Penyenaraian ini akan memberikan nilai pasaran sekitar RM6.38 bilion kepada syarikat tersebut, sekaligus menjadikan pengasas merangkap pengarah urusan, Datuk Seri Lee Kar Whatt seorang ‘billionaire’. Beliau memiliki pegangan bernilai RM4.9 bilion, menurut Indeks Billionaire Bloomberg.
Pertumbuhan pesat syarikat dengan hasil jualan meningkat lebih 50 peratus dalam tempoh dua tahun. Itu telah menunjukkan permintaan kukuh terhadap barangan harga rendah di tengah-tengah tekanan inflasi yang semakin meningkat, lapor Bloomberg.
“Peruncit harga tetap kini menjadi pilihan utama,” kata Ng Zhu Hann, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Tradeview Capital, merujuk kepada strategi harga tetap Eco-Shop iaitu RM2.60 untuk semua barangan di cawangan Semenanjung Malaysia.
Eco-Shop diasaskan pada tahun 2003 oleh Lee bersama adiknya dan dua rakan kongsi lain, dan syarikat itu masih beroperasi dari ibu pejabatnya di Jementah, Johor.
Ng turut menyatakan bahawa Eco-Shop bersaing secara langsung dengan pemain utama seperti Mr DIY Group (M) Bhd, serta pendatang baharu yang diterajui oleh usahawan dari tanah besar China.
Dalam prospektusnya, Eco-Shop menyatakan ia melihat potensi pertumbuhan yang besar dan menyasarkan untuk membuka sekitar 70 cawangan baharu setiap tahun dalam tempoh lima tahun akan datang.