menara-tabung-haji

Tabung Haji Sasar Lebih 50 Peratus Umat Islam Di Malaysia Jadi Pendeposit Menjelang Akhir 2024

Lembaga Tabung Haji (TH) menyasarkan lebih 50 peratus umat Islam di Malaysia akan memiliki akaun TH menjelang akhir tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata sehingga Ogos 2023, lebih 45 peratus daripada jumlah 18 juta umat Islam di negara ini telah membuka akaun TH.

“Daripada hanya 1,281 pendeposit dengan simpanan RM46,610 pada awalnya, TH kini mempunyai hampir sembilan juta pendeposit dengan jumlah simpanan lebih RM89 bilion, antara yang tertinggi sejak penubuhannya 60 tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-60 TH di Menara TH yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohd Na’im berkata, TH selepas melalui pelbagai evolusi berjaya berkembang pesat dan merupakan institusi Islam yang berpengalaman luas dalam pengurusan haji dan pentadbiran dana patuh Syariah yang menjadi inspirasi kepada negara Islam lain.

Beliau berkata TH akan terus bekerja keras untuk mencapai saiz dana sasaran RM100 bilion menjelang 2024.

Menurutnya, menerusi Pelan Transformasi Strategik HIJRAH24 yang diperkenalkan pada awal 2022, TH telah meningkatkan saiz dana sebanyak RM5.7 bilion, daripada RM83.3 bilion kepada RM89 bilion.

Sehingga kini, TH telah menguruskan seramai 1.5 juta jemaah haji bagi menunaikan rukun Islam kelima itu, selain membelanjakan RM2.5 bilion bantuan kewangan haji bagi meringankan beban bakal jemaah haji sejak 2001.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *