Top Glove catat keuntungan pertama sejak Covid

Boboi CTC
2 Min Read

Top Glove Corporation Bhd melaporkan keuntungan suku tahunan sekali lagi, menandakan syarikat itu kekal mencatatkan keuntungan sepanjang tahun kewangan bagi kali pertama sejak pandemik Covid-19.

Saham Top Glove melonjak sembilan sen atau 16% untuk ditutup pada 67 sen (paras tertinggi dalam tempoh dua bulan) selepas pengumuman keputusan kewangan dibuat pada waktu rehat tengah hari. Pada penutupan dagangan, syarikat pengeluar sarung tangan getah asli terbesar di dunia berdasarkan kapasiti itu bernilai sekitar RM5.51 bilion.

Bagi suku berakhir pada 31 Ogos 2025 (4QFY2025), Top Glove mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM38.56 juta, menjadikan jumlah keuntungan tahunan sebanyak RM109.07 juta. Prestasi ini disokong oleh peningkatan jualan serta harga bahan mentah yang lebih rendah. Pendapatan keseluruhan meningkat 39% kepada RM3.49 bilion bagi tahun kewangan 2025.

Pengerusi Eksekutif Top Glove, Tan Sri Lim Wee Chai memberi menjelaskan yang industri perniagaan sarung tangan kini semakin mencabar dan kompetitif di peringkat antarabangsa.

“Top Glove berada pada landasan untuk memperkukuh kehadirannya di peringkat global, dengan tumpuan jelas untuk meningkatkan bahagian pasaran di Amerika Syarikat secara ketara menjelang tahun kewangan 2026,” kata syarikat itu.

Top Glove turut mengumumkan dividen sebanyak 0.48 sen sesaham, yang akan dibayar pada 15 Disember, berikutan kejayaan syarikat kembali mencatat keuntungan. Permintaan yang meningkat juga membantu meningkatkan kadar penggunaan kapasiti kilang kepada kira-kira 75%, sekali gus mengimbangi kesan pengukuhan nilai ringgit yang menjejaskan hasil eksport dalam denominasi dolar AS.

Harga bahan mentah turut menunjukkan penurunan dalam tempoh Jun hingga Ogos berbanding tiga bulan sebelumnya, dengan harga purata lateks asli menurun 14% manakala lateks nitril susut 10%. Top Glove menyatakan keyakinannya terhadap prospek jangka panjang industri sarung tangan, disokong oleh peranan penting produk itu dalam sektor kesihatan, perindustrian serta makanan dan minuman.

Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *