Trump umum gencatan senjata penuh antara Israel dan Iran, namun ketegangan masih belum reda

Boboi CTC
4 Min Read

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Isnin mengumumkan gencatan senjata sepenuhnya antara Israel dan Iran. Ini sekali gus berpotensi menamatkan konflik 12 hari yang telah menyebabkan jutaan penduduk melarikan diri dari Tehran. Di mana ianya menimbulkan kebimbangan akan perluasan perang di rantau bergolak itu.

Bagaimanapun, tiada pengesahan rasmi daripada pihak Israel, malah tentera negara itu melaporkan bahawa mereka mengesan pelancaran peluru berpandu dari Iran ke arah Israel pada awal pagi Selasa. “Sistem pertahanan kini beroperasi untuk memintas ancaman,” kata Pasukan Pertahanan Israel dalam satu kenyataan.

Israel, dengan sokongan AS pada hujung minggu lalu, telah melancarkan serangan terhadap kemudahan nuklear Iran kerana mendakwa Tehran hampir memperoleh senjata nuklear.

Menerusi laman Truth Social miliknya, Trump berkata: “Dengan andaian semuanya berjalan lancar, saya ingin mengucapkan tahniah kepada kedua-dua negara, Israel dan Iran, atas ketabahan, keberanian, dan kebijaksanaan mereka menamatkan apa yang patut dikenali sebagai ‘PERANG 12 HARI’.”

Seorang pegawai Iran sebelum ini mengesahkan bahawa Tehran bersetuju dengan gencatan senjata, namun Menteri Luar Iran menegaskan bahawa serangan tidak akan dihentikan selagi Israel tidak memberhentikan serangan terhadap negara itu.

Menter Luar Negeri Iran, Abbas Araghchi menyatakan yang tidak ada perjanjian yang telah dicapai setakat ini.

Abbas Araqchi, dalam kenyataan pada awal pagi Selasa, berkata Iran tidak berniat untuk meneruskan tindak balas sekiranya Israel menghentikan “pencerobohan haram” terhadap rakyat Iran sebelum jam 4 pagi waktu Tehran (0030 GMT). Setakat ini, tiada serangan lanjut dilaporkan dari Israel ke atas Iran selepas tempoh tersebut. “Keputusan muktamad mengenai penghentian operasi ketenteraan kami akan dibuat kemudian,” tambahnya di platform X.

Seorang pegawai kanan Rumah Putih berkata Trump telah merundingkan perjanjian itu melalui panggilan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang bersetuju selagi Iran tidak melancarkan serangan lanjut. Trump turut memberi gambaran bahawa kedua-dua pihak diberi sedikit masa untuk menamatkan sebarang operasi yang sedang dijalankan sebelum gencatan senjata dimulakan secara berperingkat.

Iran tetap menafikan memiliki program senjata nuklear, namun Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei menyatakan bahawa jika mereka mahu membangunkannya, “pemimpin dunia tidak akan dapat menghalangnya.” Israel pula, yang bukan anggota Perjanjian Tidak Penyebaran Nuklear (NPT), dipercayai sebagai satu-satunya negara di Timur Tengah yang memiliki senjata nuklear (walaupun tidak pernah mengaku atau menafikannya secara rasmi).

Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, dikatakan memainkan peranan penting dalam mendapatkan persetujuan Tehran melalui panggilan telefon, menurut sumber yang terlibat dalam rundingan. Naib Presiden AS JD Vance, Setiausaha Negara Marco Rubio, dan utusan khas Steve Witkoff turut berhubung secara langsung dan tidak langsung dengan pihak Iran.

Misi Iran di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Kedutaan Israel di Washington tidak memberikan sebarang maklum balas kepada permintaan komen daripada Reuters.

Beberapa jam sebelumnya, tiga pegawai Israel memberi isyarat bahawa mereka ingin menamatkan kempen ketenteraan di Iran dan telah memaklumkan perkara tersebut kepada AS. Netanyahu turut mengarahkan menteri-menterinya agar tidak membuat sebarang kenyataan awam selepas mesyuarat Kabinet tamat awal pagi Selasa, menurut laporan Channel 12 Israel.

Pasaran kewangan turut memberi reaksi positif terhadap berita ini. Niaga hadapan S&P 500 meningkat sebanyak 0.4% lewat Isnin, mencerminkan jangkaan kenaikan pasaran saham AS pada Selasa. Harga minyak mentah AS pula jatuh ke paras terendah dalam tempoh lebih seminggu dalam dagangan awal Asia pada Selasa, susulan pengumuman Trump yang meredakan kebimbangan terhadap gangguan bekalan minyak di rantau tersebut.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *