Kerajaan perlu perkenalkan cukai kekosongan bagi menangani masalah rumah kosong

Aina Julia
3 Min Read

Pakar perumahan telah menggesa kerajaan supaya memperkenalkan cukai kekosongan (vacancy tax) bagi menangani peningkatan jumlah rumah kosong dan tidak terjual, serta menurunkan harga hartanah dengan mengurangkan aktiviti spekulasi.

Mereka berkata banyak unit rumah “mampu milik” kini dibiarkan kosong oleh pemilik atau pelabur, menyebabkan pembeli sebenar sukar memiliki rumah.

K. Theebalakshmi, felo penyelidik di Khazanah Research Institute, berkata cukai kekosongan boleh menghalang spekulasi dan mendorong pemaju untuk membina rumah yang benar-benar memenuhi keperluan pasaran. Ini sekali gus mengurangkan lebihan penawaran dan menyokong pembangunan perumahan yang lebih seimbang.

Menurutnya, harga rumah di Malaysia meningkat sebanyak 5.8% setahun antara 2010 hingga 2022, jauh melebihi kadar pertumbuhan sihat antara 3% hingga 4%.

“Walaupun ada yang bimbang harga rumah atau sewa akan jatuh, pembetulan pasaran melalui cukai kekosongan ini mungkin apa yang kita perlukan bagi menjadikan pasaran perumahan lebih adil dan stabil,”.

“Di negeri yang sangat urban seperti Selangor dan Pulau Pinang, di mana kadar kekosongan dan lebihan (overhang) tinggi, cukai ini dapat menghentikan pemilik daripada menyimpan rumah semata-mata untuk keuntungan pantas.”

Berdasarkan data Jabatan Perangkaan, hampir 20% rumah di Selangor dan Pulau Pinang adalah kosong pada tahun 2020.

Di Pulau Pinang, lebih 53,000 unit rumah tidak dihuni, selalunya menunggu untuk dijual atau disewa. Di Selangor pula, sebanyak 343,562 unit rumah kosong dilaporkan, dengan kira-kira 197,065 unit terdiri daripada rumah yang baru siap atau masih belum diduduki.

Sehingga pertengahan 2024, terdapat 22,642 unit rumah siap dibina tetapi masih belum terjual melebihi sembilan bulan, menurut data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC). Nilai keseluruhan rumah yang berstatus overhang ini mencecah RM14.24 bilion.

Theebalakshmi turut menjelaskan bahawa negara seperti Kanada, Australia dan Singapura telah melaksanakan cukai kekosongan atau kadar cukai lebih tinggi ke atas rumah kosong atau yang tidak didiami pemilik, antara 1% hingga 3% daripada nilai hartanah.

Di Vancouver, Kanada, rumah yang dibiarkan kosong lebih enam bulan dikenakan cukai 3%, manakala di Melbourne, Australia, sistem cukai berskala digunakan bermula 1% pada tahun pertama dan meningkat pada tahun-tahun berikutnya. Singapura pula mengenakan cukai hartanah lebih tinggi ke atas rumah yang tidak didiami oleh pemilik.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *