Volkswagen akan melabur AS$1.1 bilion untuk menubuhkan pusat pembangunan, inovasi dan perolehan baharu di China, umum Kumpulan Volkswagen di pameran Auto Shanghai 2023.
Pusat baharu itu, dengan nama projek 100%TechCo, akan ditubuhkan di Hefei, ibu kota Wilayah Anhui di timur China, lapor Xinhua.
Pengeluar kereta Jerman itu berkata pada peringkat awal, projek tersebut akan menggabungkan pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kenderaan dan komponen dengan pembelian, memanfaatkan sinergi dalam proses pembangunan dan mengintegrasikan teknologi tempatan terkini ke dalam pembangunan produk.
Pusat itu dijangka dilancarkan awal tahun hadapan dan akan dianggotai lebih 2,000 pekerja daripada perolehan dan R&D.
Pembangunan pusat itu juga dijangka memendekkan masa pembinaan produk dan teknologi baharu secara beransur-ansur sekitar 30%.
“Dengan menggabungkan kapasiti pembangunan dan perolehan secara konsisten serta mengintegrasikan pembekal tempatan pada peringkat awal, kami akan mempercepatkan kadar pembangunan kami dengan ketara.
“Ini juga akan mengukuhkan kecekapan kerjasama untuk usaha sama kami dan meningkatkan keuntungan kami,” kata Ralf Brandstaetter, pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Volkswagen Group China.
Penubuhan 100%TechCo merupakan langkah penting dalam strategi “di China, untuk China” syarikat, ujar Brandstaetter.
Berpangkalan di Hefei, Volkswagen Anhui ialah usaha sama pertama Kumpulan Volkswagen di China yang menumpukan pada R&D dan pembuatan kenderaan tenaga baharu.