Setiausaha Perbendaharaan AS Janet Yellen berkata semalam bahawa had harga minyak Rusia yang dikenakan oleh negara-negara Barat pada Disember setakat ini nampaknya mencapai matlamatnya bagi mengekalkan minyak Rusia di pasaran sambil mengehadkan pendapatan Rusia.
“Walaupun had harga minyak mentah hanya berkuat kuasa selama kira-kira sebulan, kami telah melihat kemajuan awal ke arah kedua-dua matlamat tersebut,” ujarnya.
Yellen di permulaan pertemuan dengan Menteri Kewangan Kanada Chrystia Freeland juga berkata pegawai kanan Rusia telah mengakui bahawa had harga mengurangkan pendapatan tenaga Rusia
Had harga minyak mentah telah dikenakan pada 5 Disember oleh negara G7, termasuk Amerika Syarikat, Kanada dan Australia.
Pelaksanakaannya adalah dengan melarang penggunaan insurans maritim, kewangan dan perkhidmatan lain yang dibekalkan Barat untuk kargo berharga melebihi paras had AS$60 setong.
Sebut harga bagi minyak mentah gred Ural Rusia untuk penghantaran ke Eropah adalah pada AS$52.48 semalam, mengekalkan diskaun yang tinggi berbanding penanda aras minyak mentah Brent, yang didagangkan pada AS$80.82.
Yellen berkata pasaran tenaga masih dibekalkan dengan baik susulan larangan Kesatuan Eropah terhadap import minyak mentah Rusia, yang turut dikenakan pada 5 Disember.
“Laporan awam menunjukkan negara-negara menggunakan had harga untuk memacu tawaran yang tinggi pada harga import minyak Rusia,” tambahnya.