Setiausaha Perbendaharaan AS Janet Yellen berkata bahawa peraturan perbankan serta peraturan penyeliaan perlu diteliti semula susulan kegagalan Silicon Valley Bank dan Signature Bank untuk memastikan ia menangani risiko sistem perbankan semasa.
Dalam ucapan yang disediakan kepada Persatuan Kebangsaan untuk Ekonomi Perniagaan, Yellen juga menggesa peraturan yang lebih kukuh bagi sektor bukan bank, atau “bank bayangan” yang semakin berkembang.
Yellen berkata pengembalian semula keperluan modal bank 2018 dan penyeliaan yang lebih kukuh untuk bank yang lebih kecil dan sederhana dengan aset di bawah AS$250 bilion harus diperiksa semula.
“Setiap kali bank gagal, ia membimbangkan. Keperluan kawal selia telah dilonggarkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Saya percaya adalah wajar untuk menilai kesan keputusan deregulasi ini dan mengambil sebarang tindakan yang perlu sebagai tindak balas.”
Beliau berkata bahawa pembaharuan kawal selia yang dilaksanakan selepas krisis 2008 telah membantu sistem kewangan AS menghadapi kejutan, termasuk wabak Covid-19.
“Namun, kegagalan dua bank serantau bulan ini menunjukkan bahawa usaha kami belum selesai,” kata Yellen sambil menambah bahawa sistem kewangan adalah jauh lebih kukuh berbanding 15 tahun lalu.
“Ini mungkin terbaik digambarkan oleh fakta bahawa kita telah melihat kestabilan relatif dalam sektor perbankan keseluruhan bulan ini, walaupun kebimbangan semakin meningkat mengenai institusi tertentu,” katanya.
Yelen bagaimanapun menegaskan bahawa pihak berkuasa kawal selia AS perlu meneliti semula peraturan dan sentiasa bersedia bertindak bagi menangani risiko yang wujud.