Ketua Pegawai Eksekutif Twitter Inc Elon Musk berkata pada hari ini bahawa syarikat media sosial itu hampir mencapai pulangan modal berikutan kembalinya kebanyakan pengiklan.
Selain itu, usaha pemotongan kos yang agresif melalui pemberhentian secara besar-besaran juga dilihat telah mula membuahkan hasil.
Musk, dalam temu bual dengan BBC yang disiarkan secara langsung di Twitter Spaces, berkata Twitter mempunyai kira-kira 1,500 pekerja sekarang, penurunan mendadak daripada “hanya di bawah 8,000 kakitangan” sebelum dia mengambil alih syarikat pada Oktober.
Twitter berdepan huru-hara dan ketidakpastian sejak pemerolehan AS$44 bilion (RM194.3 bilion) oleh Musk.
Hal ini kerana pemberhentian yang diumukan turut melibatkan ramai jurutera yang bertanggungjawab untuk membetulkan dan mencegah gangguan perkhidmatan, kata sumber kepada Reuters.
Minggu lalu, Twitter mengalami pepijat yang menghalang ribuan pengguna daripada mengakses pautan, gangguan besar keenam sejak awal tahun ini.
Musk mengakui beberapa gangguan yang disebutkan oleh pemerhati internet NetBlocks, namun berkata gangguan itu tidak bertahan lama.
Beliau berkata Twitter berada dalam situasi aliran tunai negatif AS$3 bilion dan terpaksa mengambil tindakan yang drastik iaitu pemberhentian berskala besar.
“Kami mungkin pada suku ini mempunyai aliran tunai positif jika keadaan berjalan lancar,” katanya dalam temu bual yang menarik lebih tiga juta pendengar.
Twitter telah dilanda penurunan besar dalam pengiklanan sejak pengambilalihannya disebabkan oleh sifat kitaran perbelanjaan iklan dan sebahagian daripadanya adalah “politik.”