Presiden Perancis nafi insiden ‘ditampar isterinya’ sesuatu yang serious

Aina Julia
2 Min Read

Presiden Perancis Emmanuel Macron semalam meremehkan satu insiden melibatkan isterinya, Brigitte Macron, yang dilihat menolaknya di muka ketika pasangan itu tiba di Vietnam untuk memulakan lawatan ke Asia Tenggara.

Dalam satu rakaman video, Brigitte kelihatan menolak suaminya sebelum beliau menuruni pesawat presiden pada lewat hari tersebut, menyebabkan Macron sedikit terundur sebelum kembali mengawal situasi dan melambai ke arah kamera di landasan.

Brigitte kekal seketika tersembunyi di belakang badan pesawat, menghalang pandangan terhadap gerak-geri atau bahasa tubuhnya.

Pasangan itu, yang telah berkahwin sejak tahun 2007, kemudian menuruni tangga bersama-sama, dengan Brigitte menolak tangan suaminya yang ingin memimpin.

“Saya hanya bergurau dengan isteri saya,” kata Macron kepada wartawan di Hanoi. “Ia bukan apa-apa yang serius.”

Macron turut memberi amaran bahawa ini bukan kali pertama video mengenainya dimanipulasi oleh pihak yang digelarnya sebagai “orang gila”.

Terdahulu, seorang pegawai Istana Elysee berkata mengenai video terbaru itu: “Ia adalah detik di mana presiden dan isterinya sedang bersantai seketika sebelum memulakan lawatan, sambil bergurau senda.”

“Ia adalah saat keakraban.”

Lawatan Macron ke Vietnam yang merupakan kunjungan pertama oleh seorang presiden Perancis dalam hampir sedekad bertujuan untuk mengukuhkan pengaruh Perancis di bekas tanah jajahannya itu.

Vietnam, dengan ekonomi yang sangat bergantung pada eksport, telah membuat beberapa konsesi kepada Amerika Syarikat dalam rundingan perdagangan bagi mengelakkan tarif sebanyak 46 peratus.

Namun, Kesatuan Eropah menyuarakan kebimbangan bahawa usaha Vietnam untuk meningkatkan pembelian barangan dari Amerika mungkin akan merugikan Eropah.

Presiden AS Donald Trump sebelum ini mengancam untuk mengenakan tarif sebanyak 50 peratus ke atas import dari Kesatuan Eropah, tetapi dua hari kemudian melonggarkan pendiriannya dan menetapkan semula tarikh akhir rundingan dengan Brussels pada 9 Julai.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *